Perbicaraan rasuah Rosmah bersambung, Mahdzir dipanggil sekali lagi


Ravin Palanisamy

Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dipanggil untuk disoal balas pasukan pembelaan Rosmah Mansor hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Disember, 2020.

PERBICARAAN kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak disambung semula hari ini selepas ditangguh hampir dua bulan susulan sekatan pergerakan akibat Covid-19.

Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dipanggil untuk disoal balas pasukan pembelaan hari ini.

Mahdzir, saksi kelima pendakwaan, sebelum ini dipanggil memberi keterangan di mahkamah pada Februari lalu. Beliau sepatutnya hadir pada 5 Oktober, tetapi terpaksa menjalani kuarantin selepas terbabit dalam kempen pilihan raya negeri Sabah.

Semasa sesi soal balas pada perbicaraan Februari lalu, peguam bela Rosmah, Jagjit Singh, mendakwa ahli Parlimen Umno itu menteri pendidikan “paling korup” kerana bersetuju untuk meluluskan projek hibrid solar di Sarawak dengan balasan suapan RM60 juta.

Jagjit ketika itu mahkamah Mahdzir pada mulanya menuntut 20%  daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin daripada kos keseluruhan projek solar berkenaan yang bernilai RM1.25 bilion, tetapi Saidi tidak setuju.

Mahdzir menafikan dakwaan Jagjit.

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak disambung semula hari ini selepas ditangguh hampir dua bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11

Seorang lagi peguam bela Rosmah, Akberdin Abdul Kadir, berkata naib presiden Umno itu dipanggil ke mahkamah untuk disoal lanjut.

Pasukan pendakwaan juga memohon kepada mahkamah untuk memainkan rakaman audia perbualan telefon antara Rosmah dan suaminya, Najib Razak.

Pendakwaan berkata rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari lalu adalah bukti sikap Rosmah yang ” suka menguasai orang lain”.

SPRM pada Januari mendedahkan sembilan rakaman audio, yang diserahkan oleh seorang pemberi maklumat, membabitkan Najib dan beberapa individu lain yang menunjukkan wujud campur tangan peringkat tertinggi dalam siasatan terhadap kes 1MDB.

Semasa hujah pembukaan perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram menggambarkan Rosmah, 69,  adalah seorang yang berpengaruh disebabkan sifatnya yang dominan dan suka menguasai orang lain.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 2016 dan 2017. – 11 Disember, 2020.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen