ARAB Saudi jadi negara Teluk kedua selepas Bahrain meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 dibangunkan Pfizer-BioNTech, lapor media tempatan semalam.
“Badan Pengawasan Makanan dan Ubat Saudi (SFDA) telah meluluskan pendaftaran vaksin Pfizer-BioNTech di Arab Saudi.
“Pihak berkuasa kesihatan arab Saudi dibenarkan mengimport dan menggunakan vaksin tersebut,” menurut kenyataan SFDA dipetik Saudi Press Agency.
SFDA bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bilakah program vaksin yang dibangunkan firma Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan BioNTech dari Jerman itu akan dilancarkan.
Bahrain minggu lalu umum telah meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Pfizer-BioNTech, selepas Britain dan Kanada.
Pengawal selia perubatan AS dijadualkan bertemu pada Khamis untuk membuat penilaian sebelum meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech di negara yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 itu.
Sehingga kini lebih 15 juta kes dilaporkan di AS dengan angka kematian lebih 290,000.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dijangka akan mengeluarkan amaran alahan jika vaksin tersebut diluluskan. Britain pada Rabu memberi amaran golongan yang mempunyai alahan serius untuk tidak mengambil suntikan vaksin vaksin Pfizer-BioNTech, selepas dua pekerja kesihatan mengalami alahan teruk.
SFDA dalma kenyataan berkata ia akan meneliti sampel dari setiap vaksin yang diterima dahulu sebelum digunakan.
Arab Saudi sehingga kini melaporkan hampir 360,000 kes Covid-19 dengan lebih 6,000 kematian. – AFP, 11 Disember, 2020.
Komen