Britain jalankan ujian virus terhadap kanak-kanak selepas lonjakan kes


Lonjakan kes Covid-19 di kalangan kanak-kanak di Britain mendorong kerajaan menjalankan ujian saringan bagi mengekang jangkitan. – Gambar EPA, 11 Disember, 2020.

BRITAIN pada Khamis mengumumkan akan mula menawarkan ujian koronavirus untuk kanak-kanak berusia 11 hingga 18 tahun di kawasan paling teruk terjejas di London dan tenggara England, dalam usaha mengurangkan peningkatan jangkitan.

Setiausaha Kesihatan UK Matt Hancock berkata beliau sangat bimbang dengan lonjakan kes di London, dan beberapa daerah di Kent dan Essex yang bersempadan dengan ibu negara Britain.

Beliau memberitahu sidang media yang data menunjukkan lonjakan terbesar di kalangan kanak-kanak dalam peringkat usia sekolah menengah, yang boleh memberi kesan langsung pada warga tua beberapa minggu akan datang.

“Kita harus segera mengambil tindakan bersasar,” katanya kepada wartawan.

Sekatan koronavirus selama sebulan dilonggarkan di seluruh England awal bulan ini, tetapi tidak seperti semasa penutupan tiga bulan di seluruh UK pada akhir Mac, sekolah tetap dibuka.

Unit ujian bergerak akan dihantar ke kawasan terjejas untuk menjalankan saringan kepada kanak-kanak, sama ada mereka mempunyai gejala Covid-19 atau tidak.

“Saya mendesak semua orang yang terlibat untuk menjalani ujian,” kata Hancock.

Sebanyak 516 kematian lagi dalam tempoh 28 hari dicatatkan di Britain pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 63,000 daripada hampir 1.8 juta kes.

Britain awal minggu ini menjadi negara pertama yang mula memberikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di 73 hospital di seluruh negara.

Program ini akan diperluaskan kepada doktor bedah pada minggu depan dan di pusat jagaan menjelang Krismas. – AFP, 11 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen