NGO bantu Orang Asli jual hasil tani tanpa orang tengah


Aminah Farid

Hasil tani masyarakat Orang Asli dijual tanpa orang tengah yang memberi ruang untuk mereka meraih pendapatan lebih tinggi.– Gambar OA Organik, 11 Disember, 2020.

DENGAN mengelakkan daripada orang tengah dan berurusan terus dengan pasar raya, petani Orang Asli mampu menjana lebih banyak pendapatan daripada hasil pertanian. 

Inilah yang cuba diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sosial, OA Organik, kepada masyarakat Orang Asli di Ulu Gumum, Pahang sejak 2016 dengan 50 petani yang menanam sayuran di kebun seluas tiga ekar.

OA Organik diasaskan oleh Yayasan Kajian Pembangunan Masyarakat (YKPM), yang memfokuskan untuk membantu masyarakat menjana pendapatan dan dalam masa yang sama menjaga alam sekitar.

“Banyak program yang kita lakukan bersama mereka seperti menyediakan telaga dan bekalan air, namun kami menyedari kebanyakan program ini tidak memadai untuk mereka kekalkan,” kata Pengurus Besar YKPM, Kon Onn Sein, kepada The Malaysian Insight.

Selain itu kata Kon, Orang Asli juga perlukan akses kepada pasaran yang lebih adil. Biasanya, rantaian kebun ke pasar raya akan melibatkan orang tengah yang menaikkan kos transaksi, menyebabkan pengeluar atau pekebun mendapat hasil yang sedikit berbanding harga runcit hasil tanaman.

Masyarakat Orang Asli diberi kemahiran dan ilmu pengetahuan bagaimana untuk menguruskan pertanian secara komersial. – Gambar OA Organik, 11 Disember, 2020.

“Sistem rantaian bekalan ini tidak efisyen dan kos transaksi terlalu tinggi jadi keuntungannya tidak memadai kepada Orang Asli menyebabkan mereka tidak mampu bertahan untuk menyertai pasaran ekonomi,” kata bekas peguam itu.

“Kita memusnahkan hutan mereka dan kemudian kita kata ‘okay, hanya satu jalan keluar iaitu menerima kemodenan’.

“Jika kamu cuba menerima kemodenan itu, kamu akan dapati rantaian bekalan adalah tidak efisyen dan kamu tidak mampu bertahan. Mereka berdepan situasi sukar. 

“Oleh sebab itu, mereka berdepan akses ke pasaran yang adil, kami membantu mereka mencari mekanisme untuk merapatkan jurang ini, agar pertanian dan pengeluaran menjadi penyelesaian yang terbaik, mampan dan diterima untuk masyarakat.”

OA Organik diasaskan untuk mengatasi masalah ini dan ia diuruskan oleh Orang Asli sendiri sebagai koperasi bagi membantu masyarakat mendapat akses kepada pasaran.

Kon membantu dengan memastikan mereka mendapat tempat dalam pasaran, termasuk dengan pengangkutan dan penghantaran, logistik, memberi pengetahuan berhubung perladangan dan membimbing mereka dari segi menguruskan kewangan.

“Kami ada pendekatan pasaran secara langsung dengan pasar raya untuk menjual hasik OA Organik,” katanya.

Sebelum ini, keluarga Orang Asli hanya menjana pendapatan sebanyak RM500 tetapi kini mereka mampu meraih sehingga RM1,000 dan RM2,000 sebulan dengan menanam dan menjual sayuran melalui platform ini.

Jumlah yang diperoleh bergantung kepada berapa banyak yang petani mahukan, kerana YKPM tidak menetapkan tahap produktiviti atau waktu kerja yang diperlukan, kata Kon. 

Oleh kerana Orang Asli adalah petani secara tradisi, Kon berkata pada awalnya sukar untuk mereka melakukan pertanian secara komersial.

“Kami mempunyai kumpulan besar yang berminat untuk belajar bagaimana untuk bercucuk tanam namun secara beransur-ansur, kamu akan melihat ia berkurangan kerana ia bukan sesuatu yang biasa mereka lakukan,” katanya.

Aktiviti pertanian mampu membantu masyarakat Orang Asli menjana pendapatan secara berterusan. – Gambar OA Organik, 11 Disember, 2020.

Namun, minat bertambah setelah YKPM memberikan pengetahuan dan latihan asas pertanian.

“Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) juga sangat membantu, mereka keluarkan surat sokongan untuk menjalankan perniagaan ini dan pada masa yang sama turut memastikan mereka ada akses pasaran yang adil.

“Selain itu, Jakoa turut merancang untuk menubuhkan pusat pemprosesan,” tambah Kon.

Kon berkata kini petani menghasilkan kira-kira 2,000 kilogram sayu-sayuran setiap bulan yang mana ia dijual di enam premis Jaya Grocer di Lembah Klang dan satu di Kuantan.

Antara yang sayuran yang mendapat permintaan adalah bayam Brazil, kacang bendi, tomato mini dan jagung yang dijual pada harga minimum RM15.50 sekilogram.

Beliau berkata OA Organik telah berjaya meningkatkan tahap kehidupan petani.

“Sejak mereka mula menjana pendapatan yang mapan, saya melihat ada keluarga yang membesarkan rumah mereka, membeli barangan seperti motosikal dan mesin basuh.

Kon berkata dasar perlu dibangunkan dengan cara memberi laluan kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan kemahiran.

“Terdapat hubungan yang sangat erat antara hutan dengan budaya dan amalan Orang Asli.

“Dengan menyedari bahawa mereka memiliki bakat unik untuk menjaga hutan, kerajaan harus melihat bagaimana mereka dapat menyokong Orang Asli dan memelihara kawasan ini untuk kebaikan semua, daripada melihat mereka sebagai masalah, pengacau atau sebagai musuh,” tambahnya. – 11 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen