PAKATAN Harapan (PH) berikrar untuk memberi peruntukan tahunan sebanyak RM15 bilion bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur di Malaysia Timur ketika melancarkan fasa kedua manifesto “perjanjian baharunya” yang disasarkan untuk penduduk luar bandar Sabah hari ini.
Pengerusi PH Sabah Christina Liew berkata, Pakatan akan memberikan 30% daripada peruntukan pembangunan persekutuan bagi memastikan negeri itu, terutamanya di kawasan luar bandar menikmati bekalan air, elektrik dan jalan raya yang lebih baik.
“Jalan raya akan dinaik taraf secara berperingkat… kerajaan Pakatan juga akan menggalakkan pelaburan dalam telekomunikasi serta memperbaiki perkhidmatan kereta api yang sedia ada,” katanya ketika pelancaran manifesto PH di Keningau hari ini.
Majlis juga dihadiri Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Penegrusi DAP Sabah Stephen Wong.
Manifesto itu merupakan lanjutan manifesto PH untuk Sabah dan Sarawak yang dilancarkan dua bulan lalu, yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan kawasan luar bandar Sabah. Ia meliputi pendidikan , kesihatan, infrastruktur, undang-undang adat peribumi, pembangunan lestari dan peluang pekerjaan.
Dalam pendidikan, Liew berkata PH antara lain akan memulihkan pendidikan mengikut hak istimewa Sabah dan memperkenalkakn sukatan pelajaran tempatan untuk memasukkan sejarah dan budaya Sabah.
“Pakatan percaya pembangunan pendidikan luar bandar adalah faktor pemangkin kepada kemajuan dan selari dengan dasar pendidikan negara gabungan pembangkang,” katanya.
Liew berkata Pakatan juga akan memperkenalkan insentif khas bagi menambah baik profesion pendidkan dan meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. – 22 Disember, 2017.
Komen