Menteri kesihatan jalani kuarantin di rumah


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas didapati menjadi kontak rapat dengan seorang petugas media yang positif Covid-19. – Gambar Facebook, 10 Disember, 2020.

MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba kini menjalani kuarantin di rumah selepas terdedah kepada kes positif Covid-19.

“Saya telah diperintahkan untuk menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau ‘Home Surveillance Order’ (HSO) sehingga 18/12/2020,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Ia susulan kontak rapatnya dengan seorang petugas media yang datang ke pejabatnya pada Sabtu, yang kemudiannya disahkan positif Covid-19 dan tanpa gejala, katanya.

Perintah HSO dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan di Putrajaya.

Adham, yang merupakan ahli Parlimen Tenggara berkata beliau akan bekerja dari rumah sehingga perintah kuarantin berakhir. Ini termasuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan secara maya.

“Sesiapa pun tidak terkecuali dari mematuhi sebarang perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apatah lagi yang melibatkan langkah pencegahan atau rawatan Covid-19. Semoga kita semua dapat memainkan peranan dalam menangani dan melawan Covid-19,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan arahan kuarantin itu bermula semalam dan dijadualkan berkuat kuasa selama 10 hari.

Ia seiring dengan keperluan bagi Pesakit Dalam Siasatan (PIU) yang dikenal pasti melalui kontak rapat dan tanpa gejala. – 10 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen