USUL undi tidak percaya dan undi percaya yang dibawa ahli Parlimen ke Dewan Rakyat bukan usul segera yang perlu dibahas kerana tiada petunjuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hilang kepercayaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, undian sebulat suara Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat juga menunjukkan Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Memandangkan tiada langsung bentuk yang mengambarkan Pagoh (Muhyiddin) hilang kepercayaan, kerajaan berpandangan usul tidak percaya dan percaya, melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai, saya percaya Dewan menganggap itu bukan perkara yang perlu disegerakan.
“Usul itu akan kekal dalam aturan utusan mesyuarat tertakluk kepada aturan urusan mesyuarat,” kata Takiyuddin.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hassan Karim (Pasir Gudang-PH) yang bertanyakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri akan dibentang, dibahas, dan diundi di Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata, Muhyiddin dipilih sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong setelah baginda berpuas hati presiden Bersatu itu memperolehi 114 sokongan ahli Parlimen ketika krisis politik hujung Februari lalu.
Walaupun Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Port Dickson mendakwa memperolehi sokongan majoriti untuk menggantikan Muhyiddin, Takiyuddin berkata Anwar tidak mengemukakan bukti ketika menghadap Agong pada 13 Oktober lalu.
“Pihak pembangkang khususnya kata bahawa sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan ia andaian perdana menteri telah hilang kepercayaan majoriti. Namun pada 26 Disember Belanjawan 2021 diluluskan secara sebulat suara, kurang ahli Parlimen tak bersetuju, itu rekod dalam Dewan Rakyat ini.
“Oleh itu tak timbul langsung konon ada kekurangan atau kehilangan sokongan majoriti kepada Pagoh,” kata Takiyuddin.
Tambahnya, tiada halangan untuk berlaku perubahan perdana menteri sekiranya terdapat mana-mana ahli Parlimen mampu mengemukakan bukti mereka memperolehi sokongan melebihi 112 ahli Parlimen.
“Namun itu bukan halangan untuk mana-mana pihak menunjukkan bentuk sokongan untuk mana-mana ahli Dewan Rakyat menjadi perdana menteri, mungkin perdana menteri kesembilan.
“Kalau ada mana-mana ahli Parlimen boleh kemuka akuan bersumpah melebihi 112 kepada Agong kita akur,” kata ahli Parlimen Kota Baru itu lagi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata beliau tiada kuasa untuk memberi keutamaan kepada usul keyakinan untuk menguji sokongan terhadap Muhyiddin.
Katanya, beliau perlu mendapatkan persetujuan menteri untuk membolehkan usul berkenaan dibahaskan.
“Saya perlu mendapatkan persetujuan daripada menteri (sebelum membenarkan usul),” kata Azhar menjawab pertanyaan V Sivakumar (Batu Gajah-PH) pada sidang Dewan Rakyat, awal minggu ini.
Azhar berkata beliau juga tidak terikat dengan sebarang tindakan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ditanya mengapa tidak mencontohi Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid yang membenarkan usul percaya terhadap menteri besar dibentangkan Jumaat lalu. – 10 Disember, 2020.
Komen