Syarikat elektrik Sabah hampir muflis


Jason Santos

Bagai telur dihujung tanduk, itulah gambaran yang boleh diberikan kepada syarikat pembekal tenaga Sabah Electricity Sdn Bhd yang dikatakan hampir muflis. – Gambar Facebook SESB, 22 Disember, 2017.

BAGAI telur dihujung tanduk, begitulah hakikatnya buat pembekal tenaga elektrik Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) apabila ekonomi syarikat itu disifatkan sebagai “berada di ambang muflis.”

Masa depannya bergantung pada hasil perbincangan antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

“Perbincangan itu penting, terutama sejak SESB terus mencatat kerugian dan berada di ambang kesolvenan,” kata Menteri KeTTHA Maximus Ongkili dalam satu kenyataan hari ini. 

TNB memiliki 82.75 peratus SESB, manakala selebihnya dipegang oleh Kerajaan Negeri Sabah.

“Tarif purata semasa SESB ialah 34.52 sen/kwh manakala kos penjanaan tenaga pada 56.50 sen/kwh. 

“Oleh itu, kerajaan persekutuan memberi subsidi kos bahan bakar SESB, terutama diesel, minyak dan gas bahan api sederhana,” kata Ongkili sambil menambah kerajaan persekutuan juga menyediakan sebahagian besar perbelanjaan modal (capex) SESB.

Sejak 2012, sejumlah RM4.2 juta dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan untuk meningkatkan operasi SESB. TNB dan SESB juga turut menyumbang bahagian masing-masing untuk capex.

Ongkili berkata menerusi usaha ini, indeks tempoh gangguan tahunan telah dikurangkan daripada 777 minit/pelanggan/tahun pada 2014 kepada 311 tahun lepas, dan dijangka dikurangkan lagi kepada 280 menjelang akhir tahun.

Beliau berkata SESB juga telah meminta semakan tarif sejak semakan terakhirnya pada 2014, namun kerajaan  persekutuan bertanggungjawab memastikan tarifnya adil dan berpatutan kepada pengguna.

“Kami mahu memastikan semakan tarif mencerminkan kualiti bekalan tenaga yang diberkalkan,” katanya menjawab kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Azman Mohd.

Azman dilaporkan berkata mereka sedang membincangkan masa depan SESB, dan persetujuan mengenai pilihan terbaik masa depan syarikat itu dijangkakan dicapai menjelang tahun baharu. – 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen