KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menempatkan pekerja asing di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) jika mereka diuji positif semasa pemeriksaan di tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam negeri dijangka melakukan pemeriksaan terhadap pekerja asing terutama yang berada di tapak pembinaan di kilang.
“Pemeriksaan akan dilakukan secara bertahap dan kami menjangkakan hampir 94% daripada mereka (pekerja asing yang disaring) berada di Kategori 1 dan 2 tanpa gejala atau bergejala ringan.
“Kami sudah mengenal pasti PKRC iaitu di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan banyak lagi serta jika terdapat peningkatan kes dalam kategori ini makan kami siap menempatkan mereka di pusat kuarantin,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini di Putrajaya.
Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Kategori 1 adalah untuk kes positif tanpa gejala, Kategori 2 adalah untuk kes positif dengan gejala ringan, Kategori 3 adalah untuk kes positif dengan radang paru-paru, Kategori 4 untuk kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan Kategori 5 untuk kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata KKM menjangkakan sekitar lima peratus pekerja asing yang disaring berada di bawah Kategori 3, 4 dan 5.
Beliau berkata hospital dapat menampung peningkatan lima persen sambil menambah bahawa mereka memiliki kapasiti unit rawatan rapi (ICU) yang mencukupi dan alat bantuan ventilator. – 8 Disember, 2020.
Komen