Jumlah pesakit pulih Covid-19 atasi kes jangkitan baharu


Ravin Palanisamy

Kes pulih Covid-19 di Malaysia atasi jumlah kes baharu dengan 1,068 pesakit sembuh daripada virus itu dalam tempoh 24 jam berbanding 959 jangkitan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

KES pulih Covid-19 di Malaysia mengatasi jumlah kes baharu dengan 1,068 pesakit sembuh daripada virus itu dalam tempoh 24 jam berbanding 959 jangkitan baharu.

Ini hari kedua berturut-turut jumlah kes pulih melebihi jumlah kes jangkitan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu, Selangor merekodkan angka tertinggi kes harian untuk dua hari berturut-turut dengan 277 kes.

“Selangor merekodkan 277 kes atau 28.9% daripada jumlah keseluruhan hari ini, diikuti Sabah dengan 203 kes baharu dan Kuala Lumpur melaporkan 129 kes,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Jumlah kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini 76,265 sementara jumlah kes pulih ialah 65,124.

Malaysia hari ini turut melaporkan lima kematian, menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 kepada 393.

Dua kes kematian dilaporkan masing-masing di Johor dan Sabah sementara satu lagi dilaporkan di Kuala Lumpur.

Semua mangsa adalah lelaki, dengan pesakit paling tua berusia 82 tahun dari Sabah, yang tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan.

Empat lagi mangsa mempunyai masalah kesihatan.

Malaysia masih berdepan 10,748 kes aktif Covid-19 dengan 127 di unit rawatan rapi dengan 61 memerlukan alat bantuan pernafasan. – 9 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen