
PERUNTUKAN bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadi kementerian ke-18 daripada 27 kementerian yang diluluskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Sejumlah 106 ahli Parlimen bersetuju peruntukan dalam Belanjawan 2021 untuk kementerian berkenaan diluluskan melalui undian belah bahagi.
Manakala 96 ahli Parlimen tidak bersetuju dan 18 lagi ahli Parlimen tidak hadir ketika sesi pengundian dilaksanakan.
Antara isu yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan adalah cubaan memotong keseluruhan peruntukan RM8.6 juta untuk anggota Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dan juga isu berkaitan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Usul memotong peruntukan PeKT bagaimanapun gagal apabila majoriti ahli Parlimen menolak usul berkenaan.
Dalam sesi hari ini, peruntukan untuk Kementerian Kesihatan juga turut diluluskan, namun hanya melalui undian suara. – 9 Disember, 2020.
Komen