Warisan, PCS setuju bekerjasama dengan Pakatan Sabah


Jason Santos

Seorang lelaki dilihat sedang turun bersebelahan sepanduk gergasi Pakatan Harapan. Hari ini, menurut sumber, parti pembangkang Sabah mengesahkan akan adanya kerjasama dengan Pakatan Harapan Sabah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2017.

AKHIRNYA ura-ura mengenai wujudnya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah dan parti pembangkang tempatan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 terbongkar juga.

Beberapa ahli Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS) dilihat hadir dalam majlis pra-pelancaran manifesto PH Sabah di Rumah Terbuka Krismas di Keningau hari ini.

Justeru, sahihlah kenyataan Pengerusi PH Sabah Christina Liew pada 14 Disember lalu bahawa PH sedang dalam rundingan dengan beberapa parti pembangkang tempatan Sabah.

Sumber dari Warisan mengesahkan kepada The Malaysian Insight mereka sedang berunding dengan PH Sabah, namun masih mengekalkan pendirian untuk tidak menyertai gabungan pembangkang.

“Kami konsisten mengenai perkara ini. Kami tidak akan sertai Pakatan Harapan, tapi kami akan bekerjasama dengan mereka dalam pilihan raya (nanti),” kata sumber itu.

Dalam pada itu, pemerhati politik di Sabah masih berteka-teki sama ada parti pembangkang akan bekerjasama menjelang pilihan raya nanti ketika semangat kedaerahan makin menebal di Timur Malaysia itu.

Pada 9 Disember lalu, PH Sabah yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah telah pun selesai berunding mengenai perletakan kerusi di negeri bawah bayu itu.

Liew yang juga Pengerusi PKR Sabah telah pun menjelaskan adanya kemungkinan pertembungan dua mata antara pembangkang dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

“Semuanya akan diketahui kelak,” katanya. – 22 Disember, 2017.

Bendera Sabah berkibar tak jauh dari sebuah masjid di Kota Kinabalu, Sabah. Hari ini, menurut sumber, parti pembangkang Sabah mengesahkan akan adanya kerjasama dengan Pakatan Harapan Sabah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen