Belanjawan KKM lulus peringkat jawatankuasa


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali menggantikan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada perbahasan belanjawan kementerian di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan RM31.94 bilion peruntukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun pelbagai soalan dibangkitkan berkenaan isu perakaunan dan bajet tidak mencukupi diberikan kepada kementerian itu.

Tetapi selepas perbahasan yang lantang di peringkat jawatankuasa selama lebih dua jam, belanjawan itu diluluskan secara undi lisan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali yang menggantikan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba walaupun berada di Parlimen.

Antara wakil rakyat yang bertanya soalan kepada Noor Azmi ialah Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) dan Jalaludin Alias (Jelebu-BN), yang minta timbalan menteri itu menjawab soalan mereka, bukannya sekadar membaca ucapan disediakan kementerian.

Seorang lagi wakil rakyat Hannah Yeoh (Segambut-PH) juga bertanya kenapa Noor Azmi menggantikan Adham (Tenggara-BN) dalam perbahasan belanjawan kementerian yang sepenting itu.

“Masa singkat untuk perbahasan ini, dan anda sepatutnya jawab soalan, bukan baca skrip,” kata Bung Moktar kepada Noor Azmi.

Masalah terbesar Noor Azmi ialah cuba menjustifikasikan sistem perakaunan baharu kementerian yang diguna pakai untuk Belanjawan 2021.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kementerian mengalih belanjawan untuk perkhidmatan disediakan ke dana khas.

Sehubungan itu, dalam nota Perbendaharaan, banyak perkhidmatan disediakan kementerian itu sebelum ini tidak ada dalam ruangan perkhidmatan dan bekalan.

Antara yang membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini ialah doktor perubatan Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut-PH) dan Dr Kelvin Yii (Kuching-PH).

“Boleh jelaskan kenapa belanjawan untuk nefrologi dan keseluruhan senarai lain seperti paediatrik, ortopedik, perubatan am dan banyak lagi yang lain tidak ada dalam Belanjawan 2021,” soal Hatta.

“Belanjawan untuk nefrologi (perkhidmatan dan bekalan) pada 2020 ialah RM198 juta. Kenapa tidak ada untuk tahun depan?,” kata pemimpin Amanah itu.

Tetapi timbalan menteri itu tidak dapat memberi penjelasan terperinci, selain berkata belanjawan kementerian tidak dipotong, dan malah bertambah.

“Kira-kira 20 tahun lalu, belanjawan kementerian hanya RM15 bilion tetapi sekarang RM31 bilion. Ini menunjukkan ia meningkat,” kata Noor Azmi. – 9 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen