Pembangkang gagal potong peruntukan kementerian Zuraida


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang bersama tiga lagi ahli Parlimen PH kemuka usul dana RM8.6 juta untuk PeKT, dipotong di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

PEMBANGKANG gagal untuk memotong peruntukan berjumlah RM8.6 juta yang disalurkan kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) melalui usul di Dewan Rakyat.

Empat ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengemukakan usul supaya dana berkenaan dipotong daripada peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Belanjawan 2021.

Usul berkenaan dicadangkan Ahli Parlimen Chang Lih Kang (Tanjung Malim); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Hasan Karim (Pasir Gudang) dan Wilfred Madius Tangau (Tuaran).

Dalam perbahasannya, Chang berkata peruntukan berkenaan boleh disalurkan ke kementerian lain bagi menangani wabak Covid-19 berbanding PeKT yang bukannya keperluan mendesak.

Beliau juga mempersoalkan kewujudan PeKT hanya di negeri yang dikuasai PH.

“Peruntukan ini bemotifkan politik dan akan dijadikan dana politik pelihara kepentingan politik sesebuah parti atau individu tertentu,” katanya.

Chang mendakwa daripada 157 calon PeKT yang menghadiri taklimat oleh KPKT sebelum ini, majoriti daripada mereka adalah bekas anggota PKR yang menyokong Zuraida dan Azmin Ali, yang merupakan bekas pimpinan parti itu.

“Ada sesi taklimat dirasmikan menteri, 157 calon terima watikah, daripada jumlah itu 101 bekas ahli PKR yang merupakan konco parti khianati parti dalam langkah jahat Sheraton,” katanya.

Dalam keadaan itu, katanya tindakan berkenaan tidak bertanggungjawab memandangkan dana berkenaan boleh digunakan untuk membantu petugas barisan hadapan melawan wabak Covid-19.

“Barisan hadapan kita bertungkus lumus memerangi Covid-19 hingga ada yang tergadai nyawa, tapi sampai hati menteri belanja RM8.6 juta untuk kepentingan politik sendiri.

“Limau purut buah petai, buta perut tidak ada akal,” kata Chang, mengakhiri ucapannya.

Ketika sesi penggulungan kementeriannya, Zuraida menjelaskan semua 157 individu tersebut adalah calon yang menghadiri taklimat dan belum dilantik.

“Mereka dilatih, diberi taklimat, dan buat pendaftaran diri mereka. Ini latihan, belum dilantik.

“Bajet yang diberi hanya RM8.6 juta. Saya minta lima kali ganda untuk laksana di seluruh negara, kita akan tengok tempat sesuai yang ada PPR (projek perumahan rakyat) untuk kita laksanakan,” kata Zuraida.

Setiap anggota PeKT yang dilantik akan dibekalkan elaun RM2,000 sebulan dan peruntukan RM10,000 setahun.

PeKT juga hanya dilantik di negeri yang dikawal PH, dan berfungsi seperti ahli majlis. – 9 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen