Kejayaan PRU lepas bukti Dr Mahathir peroleh sokongan, kata pemimpin Bersatu


Bede Hong

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin bidas dakwaanKetua Penerangan Umno Annuar Musa mengatakan Dr Mahathir tidak pernah mendapat sokongan kuat Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2017.

LIMA pilihan raya umum dengan majoriti dua pertiga adalah bukti Dr Mahathir Mohamad mendapat sokongan orang Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin.

Rais membidas dakwaan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa pada Rabu lalu mengatakan bekas perdana menteri itu tidak pernah mendapat sokongan kuat Melayu.

“Lima PRU sudah dilalui Dr Mahathir. Dalam dalam kelima-lima PRU itu, beliau menang majoriti dua pertiga.

“Itu menunjukkan keupayaan beliau mentadbir negara dan menyatukan rakyat,” kata Rais di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Turut bersama beliau ialah Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

“Saya fikir Annuar hanya cuba cari makan. Dia bercakap mengenai perkara yang betul-betul tak logik.
 
“Keputusan membuktikannya. Dr Mahathir lalui lima pilihan raya umum dengan majoriti dua pertiga. Itu sudah cukup menunjukkan sokongan dan kepimpinan beliau pada masa itu,” kata Rais, yang mengetua biro dasar dan strategi Bersatu.

Lima pilihan raya umum dengan majoriti dua pertiga adalah bukti Dr Mahathir Mohamad mendapat sokongan orang Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2017.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, kini merupakan pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan.

Pada satu forum online Umno, Annuar berkata beliau sukar mendapatkan sokongan Melayu ketika pentadbiran Dr Mahathir.

“Orang Melayu yang sokong PAS, dah lama tolak Mahathir,” ahli Parlimen Ketereh itu berkata.

“Orang Melayu yang menyokong, mereka lakukannya kerana Umno, bukan sebab Mahathir.

“Yang menyokong sebab Mahathir tak ramai,” katanya.

Annuar juga berkata pembangkang menggunakan Dr Mahathir untuk menarik apa saja baki sokongan yang beliau perolehi dari Umno, dan usaha ini akan gagal, tambahnya.

Sementara itu, Mukhriz berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 akan menunjukkan sokongan sebenar yang dimiliki ayahnya.

“Dia (Annuar) boleh cakap apa saja tetapi saya fikir perbuatan akan lebih diambil serius daripada kata-kata dari ketua penerangan Umno,” kata bekas menteri besar Kedah itu.

Menurut bancian penduduk Jabatan Perangkaan pada 2010, penduduk Malaysia dibentuk daripada 50.8% Melayu. – 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen