1,434 rakyat Malaysia dipenjara di luar negara kerana dadah


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Seramai 2,742 rakyat Malaysia dipenjarakan di luar negara ketika ini, kata Timbalan Menteri Luar Kamaruddin Jaafar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2020.

LEBIH separuh daripada 2,742 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara ditahan atas kesalahan dadah, kata Timbalan Menteri Luar Kamaruddin Jaafar.

“Paling utama iaitu kesalahan dadah seramai 1,434, dan yang kedua kes penipuan iaitu 406 orang,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ini diikuti kesalahan berkaitan kes kad kredit palsu seramai 132 orang, kastam (89) dan imigresen (66), tambah ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Kamarudin menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai status terkini dan bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara.

Richard juga bertanya jika ada rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati.

“Berkaitan hukuman mati atau atau hukuman seumur hidup, setakat maklumat yang saya ada, tiada statistik tersebut.

“Tetapi dalam jangkaan dan perkiraan saya, mungkin kesemua ini hanya melibatkan hukuman berbentuk penjara dalam jumlah masa tertentu,” kata Kamarudin dari Bersatu.

Beliau sebelum itu berkata perwakilan Malaysia di seluruh dunia berperanan menghulurkan bantuan konsular kepada tahanan selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963.

Bantuan termasuk memaklumkan penahanan kepada keluarga atau waris, serta memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan tahanan sentiasa terpelihara, jelas Kamarudin.

“Perwakilan Malaysia juga boleh membantu mengemukakan senarai firma guaman tempatan untuk dilantik oleh tahanan atau waris sekiranya diperlukan.” – 9 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen