Selepas sekolah tutup, guru buka kelas tatap muka di kedai mamak


Diyana Ibrahim

Muhamad Fairuz Mohd Arif mengehadkan kelas tambahan di kedai mamak tidak lebih empat murid untuk mematuhi protokol penjarakan fizikal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Disember, 2020.

SETIAP hujung minggu, Muhamad Fairuz Mohd Arif menunggang motosikal ke kedai mamak yang terletak lebih kurang 500 meter dari rumahnya di Semenyih, Selangor – untuk mengajar.

Guru di Kolej Vokasional Kajang itu akan merapatkan dua buah meja dan menunggu muridnya datang untuk belajar subjek Autocad RAC Drawing - Penyejukan dan Penyaman Udara. 

Riuh rendah di kedai makan menjadikan keadaan agak kurang selesa namun tidak mengganggu kelas yang berjalan sehingga dua jam.

Begitulah rutin Fairuz, 42, pada setiap hujung minggu sejak Oktober lalu apabila pandemik Covid-19 memaksa guru dan murid menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.

“Ini tempat yang terbaik dan paling sesuai yang dapat saya cari (untuk adakan kelas) lagipun saya dah biasa di kedai mamak ini, dah kenal dengan pekerja-pekerja di sini… memang senanglah untuk kita,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di “kelas"nya baru-baru ini.

Fairuz antara puluhan ribu guru di seluruh negara yang bergelut untuk meneruskan pengajaran ketika sekolah dipaksa berpindah ke dalam talian akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun.

Beliau mula membuka kelas di kedai mamak selepas menyedari murid-muridnya sukar memahami pengajarannya tanpa bertatap muka.

Menurut Fairuz, mata pelajaran yang diajarnya adalah subjek penting wajib lulus bagi calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM), yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Untuk subjek CADD ini sebenarnya kaedah pengajarannya perlu bersemuka dengan pelajar supaya mereka lebih faham. Jadi saya berbincang dengan mereka, selain kelas Isnin hingga Jumaat, sesiapa yang ada kelapangan masa Sabtu Ahad kita akan buat kelas di luar.

“Kelas ini tidaklah formal sangat. Pelajar akan bawa komputer riba mereka masing-masing dan saya akan tunjuk ajar,” katanya yang sudah mengajar di sekolah itu sejak 15 tahun lepas.

Fairuz menjelaskan kelas tambahan di kedai mamak itu hanya dihadkan tidak lebih empat murid untuk mematuhi protokol penjarakan fizikal.

“Saya tak harap ramai, dalam tiga atau empat pelajar… itu kira sudah tercapai juga objektif saya,” tambahnya.

Muhamad Fairuz Mohd Arif mula membuka kelas di kedai mamak selepas menyedari murid-muridnya sukar memahami pengajarannya tanpa bertatap muka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Disember, 2020.

Peperiksaan di tengah wabak

Selain menutup sekolah, Kementerian Pendidikan juga menangguhkan peperiksaan awam SPM dan SVM serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada hujung Februari tahun depan.

Penutupan sekolah dan penangguhan peperiksaan itu menyebabkan sesetengah guru dan ibu bapa bimbang prestasi calon akan terjejas.

Fairuz mengakui kaedah pembelajaran dalam talian bukanlah semudah seperti yang dibayangkan, apabila murid berhadapan isu kekurangan peralatan atau kemudahan Internet untuk mengikuti pengajaran. Beliau menyifatkannya sebagai “masalah utama”.

“Mungkin pelajar ada juga adik beradik lain, masing-masing ada kelas online pada waktu yang sama jadi memang akan kekurangan alat,” katanya.

Untuk itu, beliau menggunakan dua kaedah pengajaran – melalui Google Classroom bagi mereka yang ada komputer riba dan akses Internet, dan bagi yang tidak, melalui kumpulan WhatsApp.

“Kalau pelajar yang datang ke kelas tambahan ini, jika mereka tak ada komputer riba,saya akan beri pinjam yang saya punya,” katanya.

Fairuz juga mengaku tugasnya kini bertambah dan terpaksa mengorbankan banyak masa namun beliau menganggapnya satu pengalaman yang bermakna.

Katanya, beliau bersemangat apabila melihat murid-muridnya juga bersemangat tinggi mahu belajar walaupun dengan segala kekurangan yang ada.

Harapannya satu – beliau mahu semua muridnya lulus dan tiada yang tercicir kerana pandemik Covid-19.

“Insya-Allah apabila kolej buka semula sebelum peperiksaan saya akan buat latih tubi bersama pelajar. Mereka ini (yang ikut kelas di kedai mamak) akan cuba untuk bantu rakan mereka supaya cepat faham.

“Saya harap semua pelajar saya layak naik ke peringkat diploma vokasional,” katanya.

Tinjauan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kalangan 1,742 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta mendapati antara cabaran utama persekolahan di tengah pandemik adalah untuk memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung, lapor Bernama.

Kaji selidik itu juga, lapor Bernama, menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya guru “makan gaji buta” apabila sekolah ditutup kerana penularan Covid-19. – 12 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen