KONGRES perlu segera menyalurkan dana bagi mengelakkan program vaksin Amerika Syarikat (AS) jadi ‘lambat dan tertangguh’, kata bakal presiden Joe Biden semalam.
Biden, yang dijadual mengangkat sumpah pada 20 Januari depan, berikrar akan memastikan sekurang-kurangnya 100 juta suntikan vaksin dalam tempoh 100 hari pertama menggalas jawatan presiden.
“Ada kemungkinan besar selepas pusingan pertama vaksinasi, usaha tersebut akan jadi perlahan dan terhenti.
“Kongres perlu segerakan perkara ini atau berjuta rakyat AS mungkin terpaksa menunggu berbulan-bulan lagi untuk mendapatkan vaksin,” katanya kepada pemberita semalam.
Anggota Kongres Republikan dan Demokrat berselisih pendapat mengenai insentif bantuan Covid-19.
Biden berkata pasukan kesihatannya akan berusaha keras untuk menangani pandemik Covid-19 di AS.
“Saya sangat yakin dalam 100 hari kita akan dapat mengubah kehidupan di AS menjadi lebih baik.”
Beliau berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah mempercepatkan ujian, memperbaiki rantaian bekalan dan mengagihkan vaksin Covid-19.
Biden juga berkata beliau akan mendapatkan pandangan dari pakar penyakit berjangkit Anthony Fauci.
“Saya akan beritahu dia apa yang saya perlu tahu, bukan apa yang saya mahu tahu.”
Selain itu, Biden juga akan meminta semua rakyat memakai pelitup muka dalam tempoh 100 pentadbirannya dan mewajibkan pemakaian di bangunan kerajaan serta dalam kapal terbang, kereta api dan bas. – AFP, 9 Disember, 2020.
Komen