SEBARANG keputusan berhubung krisis politik Perak kini terpulang kepada pimpinan setiap parti politik, kata Hishammuddin Hussein.
“Saya rasa isu Perak sudah berlaku. Itu (keputusan mengenai Perak) anda harus tunggu dan lihat keputusan dari kepimpinan setiap parti,” kata bendahari agung Barisan Nasional (BN) kepada wartawan ketika ditemui di Ibu pejabat Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam ini.
Pemimpin Umno itu berkata, isu Perak tidak dibincangkan secara terperinci oleh majlis tetapi lebih memfokuskan kepada hal berkaitan parti.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan meminta wartawan merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Umno kini cuba meletakkan calonnya untuk menjadi menteri besar Perak.
Ahmad Zahid telah mengadap Sultan Perak hari ini dan berkata beliau telah mempersembahkan senarai nama calon menteri besar parti namun tidak mendedahkan namanya.
Jawatan menteri besar di Perak kosong selepas Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu meletakkan jawatan kerana tewas dalam undi usul percaya di Dewan Undangan Negeri pada Jumaat. Usul itu difailkan oleh ahli Parlimen Barisan Nasional.
Hanya 10 ahli Parlimen yang menyokong manakala 48 tidak menyokong dan satu undi rosak.
Hari ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih tidak diyakinkan oleh mana-mana pihak sudah ada majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini memberitahu pemberita, pemimpin politik yang dipanggil ke istana untuk mengadap Sultan Nazrin masih belum dapat meyakinkan baginda bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti.
Sultan Nazrin hari ini menerima mengadap wakil dari Umno dan Pakatan Harapan Perak.
Sementara PAS membatalkan jadual majlis mengadap sultan atas arahan pucuk pimpinan parti.
Bersatu juga dilaporkan belum dititah untuk mengadap.
Tiga puluh adalah majoriti mudah di DUN Perak dengan 59 kerusi yang terdiri daripada Barisan Nasional (25), DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3), Gerakan (1) dan bebas (1).
PAS sebelum in juga berkata pihaknya tidak akan terlibat dalam usaha untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.
Ditanya mengenai pendirian BN mengenai PAS, Hishammuddin berkata hanya presiden yang boleh mengulas dan bukan beliau.
Terdahulu hari ini, Zahid berkata calon menteri besar Perak dari partinya mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Menurutnya ini kerana PAS dan Bersatu bersetuju untuk menyokong calon Umno sebagai menteri besar dan membentuk kerajaan.– 8 Disember, 2020.
Komen