2 kluster baharu dikesan, 1 melibatkan tapak pembinaan


Ravin Palanisamy

kluster tapak pembinaan Bina Darul yang dikesan hari ini merebak di pelbagai daerah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

DUA kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini dan salah satunya melibatkan tapak pembinaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster tapak pembinaan Bina Darul merebak di pelbagai daerah melibatkan Titiwangsa, Cheras, Lembah Pantai di Kuala Lumpur, Petaling, Sepang, Kuala Langar dan Klang di Selangor serta Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata sebanyak 14 kes positif Covid-19 dikesan daripada 240 yang disaring daam kluster ini.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 6 Disember selepas hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan tapak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kluster kedua adalah Seruling yang melibatkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling di Selangor.

Seramai 2,267 orang disaring dalam kluster ini dan daripada jumlah itu seramai 109 orang diuji positif.

Selain itu katanya kluster yang melaporkan peningkatkan kes adalah kluster Teratai (78), Batu Tujuh (52) dan Ria-30 (33).

Dua kluster tambahan hari ini menjadikan jumlah kluster di Malaysia sebanyak 392 dengan 185 dilaporkan masih aktif. 

Daripada jumlah itu katanya 41 kluster masih melaporkan kes baharu.

Selain itu empat kluster disahkan tamat hari ini iaitu Melati, Kempas, Titir dan Tempayan. – 8 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen