EMPAT petugas perubatan antara 19 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan oleh Thailand dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 4,126 kes setakat ini dengan angka kematian kekal 60 kes.
Menurut kenyataan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini, kesemua petugas kesihatan terbabit termasuk seorang lelaki, berusia antara 25 dan 40 tahun, bekerja di sebuah fasiliti kuarantin alternatif (ASQ) dan mereka kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta.
Sementara itu, 15 lagi merupakan kes import termasuk enam wanita Thai berusia 24 hingga 37 tahun yang bekerja di sebuah pusat hiburan di Tachileik, sebuah bandar di sempadan Myanmar, dan pulang ke tanah air melalui saluran yang sah.
“Mereka diuji positif pada hari pertama hingga hari keempat kuarantin wajib di Chiang Mai,” demikian menurut kenyataan itu.
CCSA berkata turut diuji positif Covid-19 ialah seorang suri rumah warga Thai berusia 21 tahun yang menyusup masuk ke Chiang Rai dari Myanmar.
Baki kes melibatkan seorang banduan wanita warga Thai yang dihantar balik dari negara luar serta tujuh warga asing yang tiba di negara ini dan sedang menjalani kuarantin di ASQ.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul yang juga Menteri Kesihatan Awam, berkata kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyusup masuk dan mengelak kuarantin wajib.
Katanya mereka bukan sahaja melanggar undang-undang imigresen dan penyakit berjangkit, tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. – Bernama, 8 Disember, 2020.
Komen