FGV peruntuk RM5.6 juta setahun untuk kesihatan pekerja migran


FGV turut mengambil langkah proaktif dengan membina klinik di kawasan ladang kendaliannya di bawah nasihat Kementerian Kesihatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

FGV Holdings Bhd (FGV) memperuntukkan sejumlah RM5.6 juta setahun bagi kemudahan kesihatan serta manfaat seramai 28,000 pekerja migran, sejajar komitmen dalam memastikan semua pekerja di ladangnya memiliki akses berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan Kumpulan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain berkata peruntukan itu bagi membolehkan pekerja migran mendapatkan kemudahan rawatan pesakit luar dan pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik berhampiran.

“FGV turut menanggung kos perubatan dan rawatan bagi pekerja yang memerlukan rawatan tempoh lama di hospital, sama ada akibat kemalangan di dan luar tempat kerja atau bagi penyakit kronik atau bukan kronik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Mahdhar berkata FGV juga telah mengambil langkah proaktif dengan membina klinik di kawasan ladang kendaliannya di bawah nasihat Kementerian Kesihatan, dalam usaha menyediakan akses terhadap penjagaan kesihatan secara lebih pantas.

Malah, setakat ini peruntukan sebanyak RM350,000 telah disediakan bagi membina lima klinik di ladang-ladang di Aring (Kelantan), Selendang 3, Lepar Utara 11 and Kechau 2 (Pahang) dan Sahabat 36 (Sabah) yang mana kemudahan kesihatan berhampiran adalah terhad.

Beliau menjelaskan, setiap pekerja migran di ladang-ladang FGV juga mendapat perlindungan penuh mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), terutamanya dari segi tuntutan kecederaan.

Menurutnya, selain memenuhi tanggung jawab majikan yang mematuhi undang-undang, caruman kepada PERKESO juga membolehkan pekerja ladang memanfaatkan pelbagai kemudahan rawatan kecemasan dan pampasan sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja.

FGV turut menanggung kos tiket penerbangan untuk menghantar pekerja terbabit pulang ke negara asal sekiranya mereka mahu mendapatkan rawatan lanjut di sana.

“Sekiranya berlaku kematian atau kehilangan nyawa ketika masih berkhidmat, FGV menanggung semua kos penghantaran pulang jenazah ke negara asal.

“Selain itu, sebagai inisiatif menggalakkan pekerja migran menjalani pemeriksaan kesihatan, FGV kini dalam proses perbincangan dengan pihak pengamal perubatan swasta yang mempunyai keahlian bersama Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bagi mewujudkan kemudahan pemeriksaan di Pusat Sehenti FGV,” katanya.

Beliau berkata, semua permohonan dengan Fomema akan dikendalikan oleh pengamal perubatan manakala semua kemudahan dan perkara berkaitan agensi itu yang melibatkan pekerja baharu dan lanjutan kontrak akan dijalankan mengikut ketetapan selain membantu dari segi mengurangkan kos pengangkutan ke lokasi pemeriksaan. – Bernama, 8 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen