
TIADA daging babi ditemui di lokasi penyudupan daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu di Senai Johor, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nantha Linggi.
Beliau berkata pegawai penyiasat juga sedang menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengumpul bukti berhubung perkara itu.
“Siasatan awal juga mendapati tiada daging babi ditemui di tempat kejadian. Kes akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya selepas siasatan selesai untuk tindakan lanjut.
“Pegawai penyiasat juga sedang mengumpil bukti, mengambil keterangan dan percakapan saksi berkaitan serta mendapatkan maklumat dan dokumen lain dari agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Alexander berkata untuk tindakan awal, kementerian sudah mengeluarkan arahan kepada pejabat KPDHEP di seluruh negara pada 4 Disember lalu untuk menjalankan pemeriksaan terhadap peruncit, pemborong, dan pengedar produk daging sejuk beku.
“Bermula 4 hingga 6 Disember, sejumlah 128 premis diperiksa dan tiada tindakan kes dimbil selain kes awal di Johor,” katanya.
Minggu lepas media melaporkan kewujudan sindiket menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal.
Kegiatan berkenaan terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang di Senai.
Daging-daging berkenaan akan dibungkus semula dan diletak logo halal yang dicap di sebuah kilang di Ulu Tiram sebelum dijual di seluruh negara.
Kartel berkenaan menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku dan hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendapati gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Serbuan itu menyaksikan sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai kira-kira RM30 juta telah disita.– 8 Disember, 2020.
Komen