Speaker Dewan Rakyat kata tiada kuasa atas usul keyakinan terhadap PM


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau perlu mendapat persetujuan dari menteri dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

YANG Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau tiada kuasa untuk memberi keutamaan kepada usul keyakinan untuk menguji sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya perlu mendapatkan persetujuan dari menteri (sebelum membenarkan usul),” kata Azhar menjawab pertanyaan V Sivakumar (Batu Gajah-PH) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan kepada semua ahli Parlimen mengapa beliau tidak memberi keutamaan kepada notis usul mencabar keyakinan terhadap Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh.

Azhar berkata beliau tidak terikat dengan sebarang tindakan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ditanya mengapa tidak mencontohi Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid yang membenarkan usul percaya terhadap menteri besar dibentangkan Jumaat lalu.

Zahir, dari Umno, membenarkan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal Azumu dibentang dan dibahaskan pada sidang DUN.

Ahmad Faizal gagal apabila 48 Adun mengundi untuk tidak menyokongnya  melalui undian secara belah bahagi pada Jumaat lalu.

Usul percaya dikemukakan oleh Adun Pengkalan Baru Abd Manaf Hashim dari Umno.

“Saya rasa sampai hari kiamat pun benda ini (usul keyakinan) tidak akan naik ke Dewan,” kata Sivakumar.

Azhar kemudian berkata: “Itu prosedurnya, macam mana saya nak tukar perkara itu. Itulah amalan dan konvensyennya.” – 8 Disember, 2020.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen