Kerajaan sasar 40% pendigitalan penyampaian perkhidmatan E2E akhir tahun ini 


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata proses digitalisasi akan terus dipergiat dan tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan ekonomi negara pasca pandemik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

KERAJAAN menyasarkan 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan End-to-end, iaitu E2E sepenuhnya, menjelang akhir tahun ini berbanding 20.2 peratus pada  2019, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata proses digitalisasi akan terus dipergiat dan tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara pasca-Covid-19.

“Dalam mendepani kesan ekonomi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Ini termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang merupakan antara teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya ketika berucap melancarkan portal MalaysiaBiz yang disiarkan menerusi laman Facebook Mampu hari ini.

Portal MalaysiaBiz berfungsi sebagai pusat setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen dalam talian secara efisien.

Muhyiddin berkata sasaran proses pendigitalan itu juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh beliau bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara ini.– Bernama, 7 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen