Cadangan hantar pulang seorang, ambil seorang pekerja baharu tidak praktikal


Ragananthini Vethasalam

KDN baru-baru ini bercadang batalkan pembekuan pengambilan pekerja asing sekiranya syarikat bersedia menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing tanpa dokumen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

CADANGAN panel kerajaan supaya syarikat membiayai kos penghantaran pulang pekerja asing tanpa dokumen bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baharu adalah tidak praktikal, dan boleh menyebabkan salah guna kuasa dan rasuah, kata pihak berkepentingan dalam industri.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata pertukaran seperti itu melibatkan kos mahal bagi syarikat, sementara kumpulan aktivis pula berkata syarikat mendapat kelebihan daripada sistem ini bagi meneruskan amalan buruh paksa.

Mereka mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan pembekuan pengambilan pekerja asing sekiranya syarikat bersedia menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing tanpa dokumen.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin baru-baru ini berkata majikan yang melakukannya akan dibenarkan mengambil pekerja asing yang baharu.

“Anda hantar seorang pulang, kita benarkan ambil seorang lagi,” katanya kepada wartawan mengenai cadangan tersebut yang dikatakan bertujuan mengurangkan kos penahanan. Bagaimanapun, cadangan itu tertakluk kepada kelulusan Kabinet.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata tindakan mengesahkan pekerja asing tanpa dokumen yang sedia ada di negara ini adalah pilihan lebih baik berbanding mengusir pekerja yang ditahan sebagai pertukaran pengambilan pekerja baharu.

Menteri berkata cadangan untuk syarikat biayai kos penghantaran pulang pekerja asing haram bagi membolehkan mereka ambil pekerja baharu bertujuan mengurangkan kos penahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2020.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight daripada perspektif kos, lebih logik untuk memberikan dokumen sah kepada pekerja asing sedia ada di negara ini, dan bukannya merekrut pekerja baharu dari negara asal mereka.

“Benarkan majikan ambil pekerja asing tanpa dokumen yang sudah memang ada di sini.

“Ini harus dipertimbangkan terlebih dulu sebelum kita laksana dasar pertukaran dengan pengusiran satu pekerja (tanpa dokumen) dan kemudian ambil satu pekerja baharu,” katanya.

Beliau berkata ada dua kategori pekerja asing tanpa dokumen yang boleh diberi keizinan bekerja – iaitu mereka yang sebelum ini bekerja secara sah namun permit kerja tamat tempoh dan mereka yang masuk ke negara ini melalui lawatan sosial namun memanjangkan tempoh berada di sini.

Sementara itu, pengarah eksekutif kumpulan hak pekerja North South Initiative Adrian Pereira berkata cadangan itu boleh menjejaskan sumber manusia jika tidak ada semak dan imbang yang baik.

“Kebanyakan majikan Malaysia mempunyai reputasi buruk – tanpa semak dan imbang kerajaan, langkah ini akan menjadi bencana terhadap sumber manusia dalam negara,” katanya. – 7 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen