Kumpulan pemikir garis senarai keutamaan vaksin Covid-19


Vaksin Covid-19 perlu dilancar terlebih dahulu kepada mereka yang bekerja dalam sektor penting atau kritikal mendapat jangkitan wabak berkenaan. – Gambar EPA, 6 Disember, 2020.

KERAJAAN harus terlebih dahulu melancar vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan yang bekerja dalam perkhidmatan penting atau kritikal dan kepada mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan termasuk warga emas serta tahanan, kata kumpulan pemikir hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Center for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib berkata mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting atau kritikal termasuk dalam perkhidmatan kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, pembersihan dan sanitasi, penjagaan warga emas dan juga mereka yang terlibat dalam pembekalan serta pengedaran barang dan perkhidmatan seperti air, makanan serta elektrik.

Selain kategori ini beliau berkata golongan yang mempunyai risiko komplikasi teruk atau maut akibat Covid-19 seperti mereka berusia lebih 60 tahun dengan keadaan kesihatan serius seperti barah, penyakit ginjal kronik atau jantung juga harus dimasukkan dalam senarai penerima awal.

Malah katanya mereka yang berada di lokasi peningkatan risiko penularan seperti penjara dan depoh tahan imigresen serta asrama kilang juga tidak boleh diabaikan. 

“Masih belum terlalu awal untuk mula berbincang, merancang dan menyampaikan bagaimana vaksin akan diberikan kepada penduduk,” kata Azrul dalam satu kenyataan.

“Kita tidak perlu menunggu sampai vaksin diluluskan dan benar-benar diberikan. Satu perkara penting yang perlu disampaikan kepada orang ramai ialah siapa yang harus mendapatkan vaksin terlebih dahulu.

“Ini kerana jumlah mereka yang akan divaksin ditentukan oleh jumlah dos yang diterima. Penting bagi kita untuk memberi pemahaman dan alasan yang jelas mengapa keutamaan diberikan kepada mereka,” katanya. – 6 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen