Jersi Jordan, Obama dan Kaepernick pecah rekod lelongan


Jersi nombor 23, yang pernah dipakai Jordan semasa menandatangai kontrak dengan Chiccago Bull pada 1984, dilelong pada AS$320,000. – Gambar AFP, 5 Disember, 2020.

JERSI yang pernah dipakai legenda NBA Michael Jordan, bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan bekas pemain NFL Colin Kaepernick catat rekod dunia di Julien’s Auctions semalam.

Tiga jersi berkenaan, bersama jersi bintang NBA Los Angeles Lakers LeBron James, menjadi tarikan utama pada lelongan berlangsung empat hari yang berakhir semalam.

Jersi nombor 23, yang pernah dipakai Jordan semasa menandatangai kontrak dengan Chiccago Bull pada 1984, dilelong pada AS$320,000. Jordan membantu kelab itu menjulang enam kejuaraan NBA pada 1990-an.

Harga lelongan jersi Jordan itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan bagi mana-mana jersi yang pernah dipakai oleh pemain NBA terbaik lima kali dan juara NBA All Stars 14 kali itu.

Salah satu jersi Jordan dilelong pada harga AS$288,000 pada 18 Julai lalu, yang dipakai pada perlawanan akhir Eastern Conference 1998 menentang Indiana.

Jersi putih yang pernah dipakai Obama ketika menyertai pasukan Hawaii 1979 semasa tahun akhir di Punahou School pula dijual pada harga AS$192,000, memecah rekod mana-mana jersi sekolah menengah.

Gambar Obama memakai jersi itu dipaparkan dalam buku tahunan sekolah pada 1979.

Bagi jersi “rookie” atau pemain baharu, yang pernah dipakai Kaepernick untuk San Francisco 49ers pula, ia dijual pada harga AS$128,000. Jersi putih nombor 7 yang tertera tandatangan Kaepernick itu dipakai semasa penampilan sulungnya pada perlawanan NFL 2 Oktober, 2011. – AFP, 5 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen