Vaksin tak bermakna krisis Covid-19 berakhir, kata WHO


WHO memberi amaran supaya jangan mudah berasa selesa dengan tanggapan bahawa penemuan vaksin menandakan krisis pandemik Covid-19 akan berakhir. – Gambar AFP, 5 Disember, 2020.

VAKSIN tidak akan menghapuskan virus Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.

WHO berkata demikian sebagai amaran supaya dunia tidak mudah berasa selesa dengan tanggapan bahawa penemuan vaksin menandakan krisis pandemik Covid-19 akan berakhir.

“Vaksin bukan bermakna sifar Covid-19.

“Vaksin dan vaksinasi secara sendirinya tidak akan menghapuskan virus,” kata Pengarah Program Kecemasan WHO Michael Ryan.

Beliau juga mengingatkan tidak semua orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 awal tahun depan.

Petugas kesihatan, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik akan diberi keutamaan, katanya.

Britain Rabu lalu menjadi negara Barat pertama meluluskan penggunaan vaksin Covid-19, sambil menggesa negara mengikuti langkahnya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata penemuan vaksin Covid-19 memberi kelegaan kepada penduduk dunia.

“Bagaimanapun, WHO bimbang terhadap tanggapan bahawa pandemik sudah berakhir.

“Kebanyakan tempat masih melaporkan kes tinggi, menyebabkan hospital sesak dan petugas kesihatan sangat tertekan,” katanya.

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia melepasi angka 65 juta setakat semalam.

Sekurang-kurangnya 1.5 juta orang maut akibat virus itu sejak ia mula dikesan di China pada Disember tahun lalu.

“Perjalanan kita melawan pandemik masih panjang,” kata Tedros.

Sementara itu, Ketua teknikal Covid-19 WHO Maria Van Kerkhove berkata keputusan meluluskan penggunaan vaksin ibarat hidup atau mati kepada manusia.

Menurut tinjauan WHO ke atas calon vaksin, sebanyak 51 sedang diuji ke atas manusia, dan 13 daripadanya memasuki fasa akhir.

Manakala 163 lagi sedang dibangunkan di makmal sebelum diuji ke atas manusia. – AFP, 5 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen