FIRMA penarafan antarabangsa Fitch Ratings menyemak turun penarafan Malaysia daripada “A-” kepada “BBB+” berikutan ketidakstabilan politik dan impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi.
Penarafan “BBB” menunjukkan bahawa jangkaan risiko lalai pada masa ini rendah dan kapasiti pembayaran komitmen kewangan dianggap mencukupi, tetapi keadaan perniagaan atau ekonomi yang buruk cenderung menjejaskan keupayaan ini.
Menurut agensi penarafan kredit berkenaan, krisis Covid-19 telah melemahkan beberapa metrik kredit utama Malaysia.
“Pihak berkuasa bertindak pantas untuk menguruskan krisis dengan menyediakan langkah bantuan kepada individu dan perniagaan terjejas. Namun kesannya terhadap ekonomi Malaysia sangat besar, dan telah menambah beban fiskal Malaysia, yang sudah tinggi berikutan krisis kesihatan.
“Walaupun Belanjawan 2021 diluluskan untuk melaksanakan langkah bantuan Covid-19, ketidaktentuan politik susulan daripada perubahan dalam kerajaan pada Mac lalu memberi tekanan kepada jangkaan dasar serta prospek penambahbaikan dalam piawaian tadbir urus,” tambahnya.
Agensi itu juga berkata kegiatan ekonomi berkurangan di Malaysia seperti negara-negara lain berikutan langkah untuk membendung penyebaran koronavirus dalam negara menyebabkan pelaburan yang lemah dan penerimaan pelancongan yang rendah.
Fitch turut menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melantun semula daripada 6.1% pada 2020 kepada 6.7% pada 2021.
Ia disokong oleh kesan asas, penyambungan semula projek prasarana dan pemulihan dalam eksport komoditi dan barang perkilangan.
“Ramalan ini tetap tertakluk kepada ketidakpastian dan bergantung pada perkembangan pandemik dalam waktu dekat, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan jumlah kes harian sejak awal Oktober,” katanya. – 4 Disember, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen