8 kluster baharu Covid-19 dikesan


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan membantu penduduk Taman Meru 3, Meru, Selangor menjalani pemeriksaan saringan Covid-19. Sebanyak lapan kluster baharu dikenal pasti oleh KKM hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti lapan kluster baharu Covid-19 yang mana dua daripadanya berkaitan dengan tapak pembinaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kluster aktif di negara ini kini berjumlah 188.

Kluster tapak pembinaan Muda dan Galeri di Kuala Lumpur masing-masing melaporkan 11 serta 16 kes.

Kluster ini ditemui selepas pemeriksaan saringan dilakukan di kawasan berkenaan.

Kluster ketiga dikenali sebagai Bukit Dalam dikenal pasti di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang menjangkiti 13 orang.

Sementara itu sebanyak 14 kes dikesan di kluster Jalan Genting di Titiwangsa, Kuala Lumpur dan Bentong, Pahang.

Kes indeks kluster dikesan dalam saringan di tempat kerja.

Sebanyak 10 kes positif ditemui di kluster Cempaka yang berasal dari pesakit dengan jangkitan pernafasan akut yang teruk.

Kes-kes yang berkaitan dengan kluster ini ditemui di Kulai dan Kluang di Johor.

Kluster lain yang dilaporkan hari ini adalah kluster Huma di Pasir Puteh dan Kota Bharu, Kelantan dan kluster Atabara di Pekan dan Kuantan, Pahang yang masing-masing melaporkan 20 dan lima kes.

Noor Hisham juga mengumumkan penamatan empat kluster – Bandaran, Kolong, Ramai-Ramai dan Sentral.

Bagi kluster aktif, sebanyak 49 melaporkan jangkitan baharu. Dari jumlah tersebut, jumlah kes paling banyak dilaporkan dari kluster pembinaan Bina Puteh Lama yang mencatatkan 159 kes diikuti oleh Teratai (62) dan Damanlela (58). – 4 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen