Lembah Klang sumbang separuh dari 1,141 kes baharu Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan mengambil sampel swab ke atas seorang remaja di Taman Meru 3, Meru, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

MALAYSIA hari ini melaporkan 1,141 jangkitan baharu Covid-19 dengan kira-kira separuh daripadanya dicatatkan di Lembah Klang dengan 578 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata, kes-kes baharu menjadikan jumlah jangkitan nasional 70,236 sementara kes aktif berjumlah 10,799.

Beliau berkata jumlah pesakit pulih melebihi kes baharu selepas 1,144 orang dibenar keluar dari hospital.

Tidak ada kematian yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian seramai 376 orang.

Sabah dan Selangor masing-masing mencatat 328 kes diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 256 kes.

Kluster penjara dan tahanan pula menyumbang 32 kes.

Sementara itu hanya tiga kes import dilaporkan hari ini.

Jumlah kes pulih akibat koronavirus kini berjumlah 59,061.

Pihak berkuasa kesihatan juga mengenal pasti lapan kluster baharu.

Sementara itu seramai 129 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 59 daripadanya memerlukan alat bantu pernafasan. – 4 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen