Dewan Rakyat juga perlu contohi DUN Perak, kata Nga


Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata usul undi percaya amat penting untuk memastikan tiada 'kerajaan pintu belakang'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun harus membenarkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yasssin dibentangkan, seperti perkembangan yang berlaku di Perak hari ini, kata Nga Kor Ming.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti DUN Perak hari ini apabila hanya memperolehi 10 undi. Seramai 48 wakil rakyat lain menolak beliau sebagai menteri besar dalam undi belah bahagi dan seorang lagi berkecuali.

“Speaker DUN Perak (Zahid Abdul Khalid) buat perkara yang betul hari ini dan Azhar perlu lakukan perkara sama, mencontohinya.

“Seperti yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan dan perlembagaan negeri, usul undi percaya membabitkan keabsahan dan mesti mendahului semua urusan kerajaan,” kata Adun Aulong itu kepada pemberita selepas sidang DUN Perak hari ini.

Nga berkata usul undi percaya amat penting untuk memastikan tiada “kerajaan pintu belakang”.

Azhar sebelum ini berkata Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain.

Usul ke atas Faizal yang juga Adun Chenderiang difailkan Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) pada bulan lalu.

Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing ketika ditemu pemberita berkata pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ahmad Faizal.

“Dan ini adalah undian majoriti bagi usul yang dikemukakan oleh kerajaannya sendiri.

“Sebagai pembangkang, kami hanya menjalankan tanggungjawab kami,” kata Adun dari DAP itu.

Ahmad Faizal dilantik sebagai menteri besar Perak selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum 2018.

Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 13 Mac selepas PH tumbang pada Februari.

Perak mempunyai 59 Adun terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bseratu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan (1) dan Bebas (1).

Sidang DUN Perak dijadual berlangsung selama lima hari bagi pembentangan Belanjawan 2021 bermula hari ini sebelum bersambung pada Selasa hingga Jumaat depan. – 4 Disember, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen