Orang Asli Kuala Langat takut hilang tanah adat


Hailey Chung Wee Kye

KSSB mendapat kelulusan kerajaan negeri bagi aktiviti perlombongan pasir di Mukim Tanjung Dua Belas di Kuala Langat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2020.

ORANG Asli suku Temuan di Kampung Pulau Kempas, Kuala Langat di Selangor bimbang bakal kehilangan tanah adat mereka yang diceroboh oleh aktiviti pembangunan dan perlombongan pasir, sementara suara mereka disenyapkan oleh golongan berkuasa.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight pencerobohan ke tanah mereka sudah lama berlaku di mana semakin banyak kawasan Orang Asli diambil tanpa kerelaan mereka.

Orang Asli berkata operasi perlombongan pasir itu merosakkan kebun, memusnahkan perkuburan nenek moyang dan mengganggu keselamatan mereka menerusi penggunaan lori besar.

Mereka menyalahkan syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kerana meratakan kebanyakan ladang mereka dari 2017 dengan menggunakan permit dari kerajaan negeri.

Tok Batin, Raman Pahat, 42, berkata sebulan lalu, jentera berat memusnahkan ladang kelapa sawit mereka di Mukim Tanjung Dua Belas.

“Kami hanya berdiri dan melihatnya,” katanya, menambah mereka juga tidak diberikan pampasan sewajarnya atas kerugian itu oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata mereka membawa isu kepada Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Mungkin beliau hendak membantu tetapi berdepan dengan konflik kepentingan,” kata Raman, memandangkan Xavier dari kerajaan negeri yang ditadbir oleh PKR dan Pakatan Harapan.

Pejabat Xavier berkata ia tidak akan mengulas mengenai perkara itu kerana ia isu kerajaan negeri.

Tok Batin, Raman Pahat berkata sebulan lalu, jentera berat memusnahkan ladang kelapa sawit mereka di Mukim Tanjung Dua Belas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2020.

Perlombongan pasir diluluskan di tanah kerajaan negeri

Sementara itu, Ketua Pegawai Undang-undang KSSB Dazrin Mohd Darbi mempertahankan operasi perlombongan pasir itu, berkata syarikat berkenaan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri sejak 2017.

“Sebahagian besarnya kerajaan negeri terbait dan KSSB pemegang permit. Kami melantik Rock White Sdn Bhd sebagai operator dan mereka melantik Mara Majumas Sdn Bhd menjadi sub kontraktor,” katanya.

Beliau berkata Orang Asli boleh menuntut ganti rugi atas kerugian kehilangan pokok dan tanaman akibat daripada perlombongan pasir itu.

“Orang Asli mungkin tidak ada hak tuntutan terhadap tanah itu, tetapi mereka mungkin ada hak menuntut ganti rugi untuk pokok dan tanaman yang mereka tanam.”

Beliau berkata KSSB mengadakan beberapa mesyuarat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Masyarakat Orang Asli turut menghantar wakil mereka.

“Menerusi mesyuarat ini, kami mencapai persetuuan berkenaan bagaimana hendak meneruskan operasi perlombongan kami, pada masa sama tuntutan mereka turut dilayan.”

Katanya, Raman turut menghadiri mesyuarat itu dan tahu tentang hasilnya.

Raman mengakui ada menandatangani persetujuan itu.

“Tetapi tandatangan itu tidak bermakna saya setuju dengan projek berkenaan. KSSB suruh saya tandatangan untuk mengesahkan 10 orang sudah mengambil wang pampasan.

“Dan jika saya tidak tandatangan, syarikat tidak akan memberi sumbangan RM8,000 bagi  mengadakan sambutan untuk nenek moyang kami yang diadakan pada 29 Disember, 2017,” katanya.

Raman berkata operasi perlombongan itu sudah pun bermula sebelum persetujuan itu dicapai. – 5 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen