BAKAL presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam berkata beliau mahu meminta pakar penyakit berjangkit Anthony Fauci menyertai pasukan khas Covid-19 pentadbirannya.
“Saya telah meminta beliau kekalkan tugasnya sama seperti semasa bersama presiden-presiden lepas,” kata Biden dalam wawancara bersama CNN, merujuk kepada rancangan Presiden Donal Trump untuk memecat Fauci selepas pilihan raya November lalu.
“Dan saya minta beliau jadi ketua penasihat perubatan saya, serta menyertai pasukan Covid-19.”
Biden turut berkata akan menggesa seluruh rakyat AS memakai pelitup muka selama 100 hari sebaik sahaja beliau menggalas tugas presiden. Langkah itu katanya untuk membendung penularan Covid-19 di AS, yang ketika ini paling tinggi angka kematian dan jumlah jangkitan.
“Saya akan minta rakyat pakai untuk 100 hari. Hanya 100, bukan untuk selama-lamanya.”
Pendekatan Biden itu berbeza dengan Trump yang meremehkan usaha membendung pandemik Covid-19.
Bakal presiden itu juga bercadang untuk mengeluarkan perintah mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan kerajaan dan pengangkutan awam termasuk bas dan kapal terbang.
Jumlah jangkitan Covid-19 di AS kini melebihi 14 juta kes dengan lebih 275,000 kematian. – AFP, 4 Disember, 2020.
Komen