Atlet terjun negara menang pingat bukti kaedah 'old school' berkesan


Yeoh Cheong Ee

Atlet terjun negara Pandelela Rinong dan Jun Hoong Cheong menang pingat gangsa bagi acara platform 10m di Kejohanan Dunia FINA 2017 di Budapest pada Julai. – Gambar AFP, 22 Disember, 2017.

TERKEJUT apabila digugurkan sebagai jurulatih untuk pasukan terjun Malaysia sudah pun mula berlalu dan Yang Zhuliang berkata tidak ada kekesalan bagi dirinya dan tiada hasrat menyalahkan sesiapa.

Tetapi selepas membawa kemenangan untuk Malaysia selama 14 tahun, jurulatih berusia 53 tahun dari China itu berkata begini:

“Jika latihan saya tidak saintifik, bagaimana atlet boleh berada dalam sukan ini sebegitu lama?,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual semalam, sehari selepas Institut Sukan Negara (ISN) mengumumkan kontraknya tidak akan diperbaharui.

Keputusan itu berdasarkan kepada “keengganan Yang untuk menerima sains sukan” dan lebih memilih untuk menggunakan teknik “old school” (lama) di mana ISN merasakan ia akan menyebabkan pasukan itu tidak dapat mencapai keputusan lebih baik.

Kontrak Yang akan tamat 31 Disember ini.

Sebaik saja mengetahui tentang keputusan itu, Yang berkata reaksi pertamanya ialah dengan secara sinis menggelar dirinya “penipu”.

Yang memberitahu Sin Chew Daily beliau kecewa dan mencabar ISN menunjukkan bagaimana kaedahnya itu sudah lapuk memandangkan latihan yang diberikannya menghasilkan pemegang pingat Olimpik.

Beliau berkata tekniknya terbukti berjaya kerana semua atletnya kini bertanding di arena antarabangsa.

Semua itu, katanya sudah cukup untuk menolak dakwaan terhadap kaedah “old school” yang digunakannya.

Kontrak jurulatih pasukan terjun negara, Yang Zhuliang tamat 31 Disember ini dan tidak akan diperbaharui. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Disember, 2017.

Bagaimanapun, Yang lebih tenang ketika temu bual dengan The Malaysian Insight semalam, berkata beliau sudah pun mencapai kebanyakan matlamatnya di Malaysia, kecuali satu – membantu negara mendapat emas pada Olimpik akan datang.

Yang diberi tanggungjawab mengendalikan pasukan terjun negara sebagai dua kali, dari 2001 hingga 2005 dan 2009 hingga 2017.

Di bawah tanggungjawab pertamanya, Malaysia menang tiga pingat gangsa di Sukan Asia Busan, menang Kejohanan Remaja Dunia di Brazil pada 2004 menerusi acara 10 meter platform dan beberapa kejuaraan lagi pada Sukan SEA Manila 2005.

Yang turut membawa pelbagai kemenangan untuk Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan yang paling menonjol ialah apabila Pandelela Rinong menang pingat gangsa di Olimpik London 2012.

Paduan Pandelela dan Leong Mun Yee atau Cheong Jun Hoong melayakkan mereka menang dalam beberapa acara kejohanan.

Pandelela dan Jun Hoong menang pingat perak di Olimpik Rio tahun lalu. Tahun ini, pasangan itu menang gangsa dalam acara sama di Kejohanan Dunia di Budapest, sementara Jun Hoong menang emas dalam acara individu.

Jun Hoong juga menjadi juara dunia terjun selepas menang acara platform 10m di Kejohanan Akuatik Dunia 2017.

Yang turut membantu Malaysia menghasilkan penerjun bertaraf dunia Bryan Nickson Lomas, yang menjadi juara terjun remaja dunia pertama dari Malaysia dan menang 17 pingat sepanjang kerjayanya.

“Saya tidak hilang apa-apa di Malaysia. Sasaran yang saya tetapkan ketika saya pulang ke Malaysia pada 2009 sudah tercapai, melahirkan pasukan penerjun yang cemerlang dan berbakat.

“Walaupun ada matlamat tidak tercapai, saya tidak menganggap ini (kembali ke Malaysia) satu pembaziran,” katanya. – 22 Disember, 2017.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen