DEWAN Rakyat memperkenal ketetapan baharu dengan melantik pemerhati bagi setiap penghitung untuk sesi undi belah bahagian bagi mengelakkan kesilapan menghitung sekali lagi.
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata, setiap pemerhati itu dilantik daripada blok berbeza dengan penghitung undi.
Ketetapan itu mula dilaksana ketika sesi pengundian belah bahagian peringkat Kementerian Perdagangan Antrabanga dan Industri (Miti), di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika sesi berkenaan, Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) menjadi pemerhati kepada Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baru) yang merupakan penghitung undi.
Manakala V Sivakumar (PH-Batu Gajah) menjadi pemerhati kepada ahli Parlimen Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau).
Shabudin Yahya (PN-Tasek Gelugor) yang melakukan kesilapan pengiraan dalam sesi sebelum ini pula mendapat ahli Parlimen Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) sebagai pemerhatinya.
Shahbudin pada Isnin melakukan kesilapan dengan menanda kehadiran Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) semasa sesi pengundian, sedangkan bekas menteri tersebut tidak hadir waktu itu.
Perkara itu mengakibatkan Dewan Rakyat meminda keputusan undian daripada 107 menyokong menjadi 106 undi menyokong peruntukan untuk kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa.
Sewaktu undian tersebut, 95 ahli Parlimen tidak bersetuju dan 19 ahli Parlimen tidak hadir.
Dalam pelaksanaan hari ini Shahidan Kassim (BN-Arau) sebagai penghitung undi diperhatikan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat).
Wong Shu Qi (PH-Kluang) diperhatikan Fasiah Fakeh (BN-Sabak Bernam) manakala Syed Saddiq Syed Abu Bakar (Bebas-Muar) diperhatikan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).
Seterusnya Salim Sharif (BN-Jempol) dilantik sebagai pemerhati Hatta Ramli (PH-Lumut) dan Ahmad Maslan (BN- Pontian) sebagai pemerhati kepada Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh).
Lukanisman Awang Sauni (PBB-Sibuti) juga dilantik menjadi pemerhati kepada Johari Abdul (PH-Sungai Petani). – 3 Disember, 2020.
Komen