Dewan Rakyat lulus belanjawan untuk kementerian Azmin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Bajet Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diterajui Mohamed Azmin Ali diluluskan selepas perbahasan hangat mengenai peruntukan bagi mesyuarat Apec. – Gambar Facebook, 3 Disember, 2020.

BELANJAWAN untuk kementerian Azmin Ali diluluskan di peringkat jawatankuasa hari melalui undi belah bahagi apabila 110 ahli Dewan Rakyat menyokong berbanding 104 yang menentang.

Enam ahli Parlimen tidak hadir sewaktu pengundian dijalankan secara belah bahagi, yang membolehkan bajet untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) diluluskan.

Enam yang tidak hadir antara lain terdiri dari Jeffrey Kitingan (Star-Keningau), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua musang), Masir Kujat (PRS-Sri Aman), Liew Chin Jin (PH-Tawau).

Dua ketua menteri masing masing dari Sabah, Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Pulau Pinang Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) juga tidak hadir.

Keputusan itu memberi satu lagi kemenangan untuk blok kerajaan apabila berjaya meluluskan belanjawan untuk sembilan kementerian pada masa ini.

Belanjawan untuk Miti diluluskan selepas perbahasan hangat mengenai peruntukan bagi mesyuarat Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Peruntukan yang dipersoal melibatkan dana RM25 juta bagi penganjuran untuk pertemuan tahun ini, yang dianggap tinggi kerana mesyuarat Apec tersebut hanya dijalankan secara maya.

Antara yang bangun menuntut penjelasan Ahmad Maslan (BN-Pontian), Madius Tangau (Upko-Tuaran), dan Ong Kian Ming (Serdang-DAP).

Azmin dalam jawapannya kemudian menjelaskan jumlah RM24.99 juta itu tetap diperlukan bagi menjelaskan baki pembayaran yang perlu dibuat pada 2021.

“Sebab itu peruntukan 2021 amat diperlukan untuk melunaskan tanggungan kontrak penganjuran Apec 2020, yang kebanyakan akan berakhir pada 2021,” katanya.

Dalam ucapan semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya itu, Azmin juga brkata kerajaan hanya menggunakan RM66.6 juta sahaja bagi penganjuran persidangan tersebut.

“Setelah bincang dengan pegawai, (untuk) lakukan penjimatan dari RM300 juta, kementerian jimatkan perbelanjaan RM233.4 juta.

“Miti serahkan balik kepada kementerian kewangan, kerana perlukan dana besar untuk pakej rangsangan ekonomi,” katanya yang menambah RM13 juta disalur kepada beberapa kementerian.

Ia termasuk RM7 juta kepada Kementerian Kewangan, RM4.1 juta kepada Kementerian Seni dan Budaya serta RM2 juta kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Baki RM53.5 juta dibelanjakan bai penganjuran persidangan Apec di pelbagai peringkat yang bemula seawal Disember 2019 di Langkawi,” kata Azmin lagi.

Persidangan Apec yang berlangsung baru-baru ini melibatkan 21 pemimpin negara dunia dengan 146 mesyuarat. – 3 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen