JOHOR akan menghantar 1,000 bakul makanan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura, kata Menteri Besar Husni Mohammad hari ini.
Beliau berkata 300 bakul akan diagihkan untuk fasa pertama, sementara bakinya akan diedarkan secara berperingkat.
“Penghantaran dan agihan 300 bakul makanan pertama membabitkan kos RM30,000 akan dilakukan serta merta dan bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat,” kata Husni dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata bakul itu akan termasuk barangan kebersihan diri dan selimut.
Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bai membantu pengagihan bakul makanan itu dan akan menjadi pusat kutipan dan agihan.
“Saya harap program bakul makanan ini akan dapat membantu rakyat Malaysia yang memerlukan di sana,” katanya.
Ia susulan Menteri Luar Hishammuddin Hussein pada 24 November berkata Putrajaya akan mengambil tindakan segera bagi membantu pekerja rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura akibat penutupan sempadan.
Singapura mengetatkan sekatan di sempadan kepada mereka yang masuk dari Malaysia susulan lonjakan kes Covid-19 di negara ini.
Hishammuddin berkata Malaysia tidak menyekat rakyatnya pulang ke tanah air tetapi mereka perlu patuh prosedur ditetapkan. – 3 Disember, 2020.
Komen