Orang Asli buat laporan polis kenyataan hina anggota Senoi Praaq


Aminah Farid

AJK Pertubuhan Kebajikan Komuniti Jahut Pahang menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap tiga individu didakwa menghina Orang Asli. – Gambar ihsan Yusri Ahon, 3 Disember, 2020.

SEMBILAN laporan polis dibuat terhadap orang yang memperlekehkan anggota Orang Asli bertugas dengan Batalion 3 (Senoi Praaq) Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut ditembak ketika melakukan rondaan di sempadan.

Wakil Pertubuhan Kebajikan Komuniti Jahut Pahang, Yusri Ahon berkata, laporan itu dibuat terhadap tiga individu yang membuat kenyataan menghina terhadap mendiang Sarjan Baharuddin Ramli (Senoi Praaq), 54, yang meninggal dunia dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa lalu.

Rakan sekerja Baharuddin, Koperal Norihan Tari, 39, mengalami kecederaan serius, dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis.

Kenyataan menghina itu dibuat oleh pengacara televisyen terkenal Maria Tunku Sabri, Fak Khairudin dan Zamzuri Hussin.

Maria, dalam hantara di Instagram menamakan hidangan disediakannya “Siakap 3 Rasa mati tertembak di sempadan Malaysia-Thail”, sementara itu, Fak Khairudin memberi ulasan di Facebook berkata mendiang tidak perlu dipuji kerana sudah menjadi tugasnya melindungi sempadan.

Zamzuri Hussin juga memberi komen dalam catatan di Facebook dengan berkata, “Sebelum ni sejak bertahun tak ada penyeludup. Bila ada Senoi Praaq bertugas baru muncul aktiviti penyeludup ni…”

Setiausaha kumpulan itu, Koi Bin Ting berkata kenyataan tersebut menghina dan memperkecilkan pengorbanan anggota Senoi Praaq.

Beliau berkata penghinaan itu jelas bertujuan untuk menjatuhkan maruah mendiang dan mengejeknya, tanpa memikirkan perasaan ahli keluarga.

“Ia juga menunjukkan mereka tidak menghormati Orang Asli dalam pasukan polis dan tidak menghormati Orang Asli secara umumnya.”

Kumpulan itu berkata laporan juga dibuat berdasarkan salah satu prinsip Rukun Negara “Kesopanan dan Kesusilaan” yang jelas membuktikan tulisan mereka tidak menggambarkannya.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang membuat kenyataan provokatif yang cuba mengganggu ketenteraman awam dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mereka ini,” kata Koi. – 3 Disember, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen