Umno boleh terima kalau Bersatu tak kacau kerusi


Mohd Farhan Darwis

Sokongan Umno terhadap kerajaan PN pada masa ini hanyalah sebagai tolak ansur bagi membolehkan pentadbiran diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

BERSATU sedia diterima dengan hati terbuka sekiranya parti itu sanggup memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi tradisinya, kata pemimpin parti itu.

Anggota exco Pemuda Umno Bastien Onn menegaskan, itu satu-satunya cara untuk membolehkan prinsip penyatuan yang dilaungkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Bersatu perlu merampas kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan tidak menganggu Umno untuk mengekalkan kerusi mereka, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kalau rasa hendak beri sumbangan, ada nilai tambah kepada gabungan Perikatan Nasional (PN), kita hendak mereka lawan di kerusi yang rakan mereka tanding dahulu dalam PH.

“Kalau macam itu (barulah) selesai. Umno akan betulkan kesilapan di kerusi yang pernah ditandingi mereka.

“Bersatu sebagai orang yang sangat kenal dengan PH patut lawan mereka. Saya rasa penyatuan itu boleh dilakukan tapi kena ada nilai tambah kepada gabungan,” kata Bastien.

Ketua Pemuda Umno Segamat itu berkata ia juga bagi menebus dosa Bersatu kerana gagal mentadbir negara sewaktu berada dalam PH yang menyebabkan rakyat menderita.

“Kalau mereka cakap soal penyatuan, sebagai parti yang pernah tidur sebantal dengan PH kita minta mereka berlawan dengan PKR, DAP, dan Amanah di kerusi yang mereka popular, yang dimenangi PH.

“Kalau Bersatu rasa mereka ada sokongan, mereka lawan di kerusi bukan tradisionalnya kerusi Umno, mereka lebih kenal siapa DAP, PKR, Warisan, dan Amanah,” kata Bastien.

Beliau menjawab seruan Muhyiddin ketika perhimpunan agung tahunan Bersatu minggu lalu, yang mahu pemimpin Melayu dan Islam agar bersatu dalam jemaah besar PN.

Perdana menteri itu berkata, orang Melayu tidak harus berpecah dalam kabilah kecil dan menganggap krisis Bersatu - Umno pada masa ini sebagai ujian penyatuan.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula menuntut Bersatu bersikap jujur dan insaf bahawa parti hanya satu kabilah kecil berbanding Umno dan PAS.

“Niat Muhyiddin memang bagus iaitu demi mewujudkan kestabilan politik di Malaysia. Umno ada ahli seramai 3.7 juta orang. Ahli PAS pula lebih satu juta. Ahli Bersatu berapa orang?

“Umno dan PAS bukan kabilah kecil, permohonan ahli baru tetap bertambah sedangkan Bersatu menghadapi kesukaran untuk menubuh cawangan,” katanya.

Beliau juga mengesyaki Bersatu kini berpecah menjadi lebih kecil apabila kumpulan dipimpin bekas pengerusi Dr Mahathir Mohamad disingkirkan daripada parti tersebut.

“Mungkin Bersatu adalah kabilah kecil kerana sudah berpecah dua antara Bersatu Merah dan Bersatu Hitam,” katanya.

Kumpulan berkenaan digelarnya Bersatu Hitam kerana mengunakan lambang parti dengan warna hitam sebagai bantahan selepas disingkirkan dan seterusnya membentuk parti Pejuang.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin pula tidak melihat Bersatu memberi kekuatan tambahan malah menjadi masalah kerana gabungan dengan PAS sudah memadai.

“Sebenarnya, Umno dan PAS adalah kekuatan yang mencukupi, yang selebihnya akan menyebabkan tempat yang kecil menjadi sesak.

“Umno dan PAS adalah rakan kerjasama yang setara dalam Muafakat Nasional. Namun kekuatannya berbeza.

“Umno ternyata lebih besar dari segi pengaruh dan kekuatan akar umbi. PAS pula mempunyai kelebihan tersendiri dalam mewakili orang Melayu,” kata Khaled.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata gabungan dengan PAS sudah memadai, tanpa kehadiran Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

Sokongan Umno ke atas kerajaan pada masa ini juga hanyalah sebagai tolak ansur bagi membolehkan pentadbiran diteruskan.

“Sumbangan Umno adalah untuk memastikan kita bukan sahaja mempunyai kerajaan, tetapi kerajaan yang stabil demi rakyat dan kelangsungan pentadbiran, Umno berkompromi,” katanya.

Sementara itu, kalangan pemimpin Bersatu pula melihat sikap menolak penyatuan dengan parti itu kebanyakannya dizahirkan pemimpin Umno yang ditolak dalam pilihan raya lalu.

Kumpulan pemimpin yang angkuh inilah yang masih cuba memaksa rakyat tunduk kepada mereka, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Muhammad Faiz Naaman.

“Mereka cuba menjadi hero dalam parti mereka dan tidak kisah hasrat majoriti rakyat terutamanya masyarakat Melayu-Islam yang mahu melihat penyatuan bangsa melangkaui skop kepartian.

“Mereka cukup lokek untuk menerima hakikat sekarang zaman berkongsi kuasa serta bertoleransi dengan kepelbagaian pilihan dalam politik, katanya.

Kitikan segelintir pemimpin Umno itu juga kini lebih kuat dari pembangkang, tetapi mereka tidak membantah kerjasama Umno dan Bersatu sewaktu pembentukan kerajaan.

“Suara mereka lebih pembangkang dari pembangkang kerana menyerang kepimpinan kerajaan sendiri secara terbuka dan kerap. Itulah khianat dan tikam belakang namanya. Gopoh dan angkuh.

“Ketika pemimpin utama mereka berulang-alik ke rumah Muhyiddin untuk membentuk kerajaan PN dan menghalang PH dari terus berkuasa, tidak kedengaran pula suara mengada-ngada mereka di media yang mempersoal kewajaran Umno bekerjasama dengan Bersatu.

Beliau juga berpendapat kumpulan pemimpin ini hanya mahukan kuasa dan jawatan untuk diri sendiri.

“Nada mereka sama, iaitu mahu menuntut kuasa dan jawatan politik ketika negara bergelut dengan ancaman Covid-19 dan masalah ekonomi global akibat dari wabak tersebut.

“Bagi kelompok itu mereka mahu ikat rakyat terutamanya Bumiputera agar tiada pilihan lain selain dari tunduk terhadap kelompok mereka saja yang mendominasi negara serta kerajaan seperti era pra media sosial sebelum ini,” katanya lagi. – 4 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen