Malaysia tunggu analisis penuh vaksin, kata ketua pengarah kesihatan


Noel Achariam

KKM masih perlu menunggu fasa tiga ujian klinikal vaksin sebelum keputusan dapat dibuat. – Gambar EPA, 2 Disember, 2020.

MALAYSIA akan menunggu semua analisis dan data selesai sebelum membuat sebarang keputusan mengenai vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, kata Dr Noor Hisham Abdullah, ketika Britain menjadi negara pertama meluluskan penggunaan untuk rakyatnya.

Ketua pengarah kesihatan berkata kementerian masih perlu menunggu fasa tiga ujian klinikal vaksin sebelum keputusan dapat dibuat.

“Kita perlu memiliki semua data sebelum keputusan dibuat.

“Bagi kita di Malaysia, vaksin harus didaftarkan dengan badan pengawal selia. Tiada pengecualian,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham mengulas keputusan Britain meluluskan vaksin Covid-19 untuk kegunaan awam ketika mengumumkan produk Pfizer-BioNTech mulai minggu depan.

“Kerajaan menerima cadangan daripada Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) untuk meluluskan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech Covid-19 untuk digunakan,” kata jabatan kesihatan dalam satu kenyataan.

Ia adalah negara barat pertama yang meluluskan penggunaan vaksin itu.

Noor Hisham berkata UK akan menerima 4 juta dos vaksin kerana badan pengawal selia perubatan dan penjagaan kesihatan mereka sudah membenarkan penggunaannya.

“Tetapi, mereka belum mendaftarkan vaksin. Mereka hanya membenarkan penggunaannya kerana keadaan darurat yang mereka hadapi.”

Katanya, Malaysia akan memantau keberkesanan dan kesan sampingan vaksin.

“Kita masih mempunyai masa untuk melihat kesan penggunaan vaksin di Britain.

“Negara lain mungkin mengikuti dengan mengizinkan penggunaannya untuk keadaan darurat tetapi belum mendaftarkan ia dengan badan pengawal selia mereka.

“Kita masih di peringkat awal. Kebimbangan utama di kebanyakan negara adalah sama ada terdapat kesan sampingan,” tambahnya. – 2 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen