KERAJAAN diminta merujuk kepada pihak berkuasa agama atau Majlis Fatwa berhubung vaksin Covid-19 terlebih dahulu sebelum mula digunakan, supaya orang Islam dapat menerima penggunaannya nanti tanpa sebarang keraguan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara ini penting supaya dapat meningkatkan keyakinan rakyat khususnya orang Islam untuk menerima vaksin itu sebagai kaedah rawatan mencegah daripada dijangkiti wabak itu.
“Ada segelintir masyarakat yang tolak terus vaksin ini, tetapi bagi saya ini tidak tepat dari segi agama, sebab vaksin juga antara usaha untuk kita mencegah daripada sesuatu penyakit. Jadi, kalau ia halal dan tidak bercanggah syarak, apa salahnya.
“Namun, kita minta supaya kerajaan Persekutuan menjalankan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama atau majlis fatwa supaya tidak timbul polemik dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.
Pada 7 November lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 yang dianggarkan diperoleh suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Bernama, 2 Disember, 2020.
Komen