SEBUAH kesatuan hospital melahirkan rasa kecewa di atas kegagalan kerajaan mengiktiraf anggotanya sebagai petugas barisan hadapan dan menafikan bayaran one-off RM300 di bawah Belanjawan 2021.
Dalam satu kenyataan, Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan berkata tukang cuci di hospital kerajaan juga bekerja di hospital dan wad Covid-19.
“Tukang cuci di hospital kerajaan juga bekerja di hospital-hospital Covid-19 dan wad covid 19. Mereka menjalankan tugasnya bersama dengan petugas-petugas yang lain.
“Tukang cuci yang cuci, bersihkan wad-wad covid19 dan juga ada hubungan langsung dengan pesakit-pesakit di wad tersebut. Maka risiko yang dihadapi oleh tukang cuci sama dengan petugas-petugas di wad covid19,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Pada 26 November, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan bersetuju untuk bayaran one-off RM300 untuk semua petugas barisan hadapan di negara ini termasuk polis dan pegawai tentera.
Beliau berkata keputusan itu dibuat merangkumi petugas barisan hadapan lain selain pegawai Kementerian Kesihatan.
Selepas pengumuman oleh Menteri Kewangan, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menerusi Twitter menekankan bahawa tukang cuci tidak termasuk dalam senarai petugas barisan hadapan.
Bagaimanapun sebagai tindak balas kepada Fahmi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof berkata pembayaran RM300 sekali sahaja hanya untuk “mereka yang berisiko lebih tinggi” seperti kakitangan yang berurusan dengan kumpulan atau pesakit berisiko tinggi.
Kesatuan juga berkata itu adalah kali kedua tukang cuci tidak mendapat bayaran daripada kerajaan kepada petugas barisan hadapan.
“Pada Mac Kerajaan telah mengumumkan elaun khas RM600 kepada petugas barisan hadapan tetapi tukang cuci tidak diiktiraf.
“Dalam belanjawan 2021, sekali lagi tukang cuci tidak dapat bayaran one-off RM300. Ini amat tidak munasabah, dan tidak hargai jasa tukang cuci,” katanya. – 2 Disember, 2020.
Komen