HONG Kong dan Singapura semalam umum menangguhkan gelembung perjalanan, memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan dan penerbangan yang telahpun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Perjanjian yang sebelum ini dilancarkan pada 22 November lalu membenarkan pelancong antara dua hab kewangan itu tanpa perlu menjalani kuarantin. Ia bagaimanapun ditangguhkan susulan lonjakan kes di Hong Kong.
Singapura dan Hong Kong semalam berkata gelembung perjalanan ditangguhkan bagi jangka masa yang lama yang akan ditentukan kemudian.
Penangguhan turut memberi tamparan kepada negara-negara lain yang berharap gelembung perjalanan tersebut boleh dijadikan model untuk ditiru di tengah pandemik Covid-19.
Hong Kong dalam satu kenyataan semalam berkata keputusan dibuat selepeas mengambil kira kes jangkitan Covid-19 yang naik mendadak di wilayah itu.
Menurut Lembaga Pelancongan Hong Kong seramai 450,000 pelancong tiba dari Singapura pada tahun lepas.
Manakala Hong Kong antara lima penyumbang utama industri pelancongan Singapura, menurut data rasmi republik itu.
Isnin lalu Hong Kong mengetatkan semula peraturan sekatan pergerakan ekoran lonjakan kes Covid-19.
Perkumpulan dihadkan hanya kepada dua orang berbanding empat sebelum ini, manakala penjawat awam dalam jabatan tidak penting diarahkan bekerja dari rumah. – AFP, 2 Disember, 2020.
Komen