Perancis sasar lancar kempen vaksin Covid-19 April


Presiden Perancis Emmanuel Macron kempen vaksin Covid-19 besar-besaran akan dilancar antara April dan Jun tahun depan.– Gambar EPA, 2 Disember, 2020.

PERANCIS sasar untuk melancarkan kempen vaksin Covid-19 besar-besaran antara April dan Jun tahun depan, umum Presiden Emmanuel Macron.

Pada sidang media di Istana Elysée di Paris semalam, Macron berkata golongan berisiko tinggi akan diberi vaksin terlebih dahulu awal tahun depan.

Sementara itu, Perdana Menteri Jean Castex di Parlimen berkata penghuni pusat jagaan orang tua dan kakitangan akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19. Seramai 16,000 daripada lebih 52,000 orang yang maut akibat Covid-19 di Perancis adalah penghuni rumah warga tua.

Isnin lalu firma farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Moderna mengemukakan memohon kebenaran kecemasan untuk mengeluarkan vaksin di AS dan Eropah.

Pfizer/BioNTech pula menjangkakan vaksin yang mereka bangunkan akan mendapat kelulusan dari AS 10 Disember ini. Pengawal selia perubatan Eropah semalam berkata keputusan untuk memberi kebenaran kecemasan kepada Pfizer/BioNTech akan diumumkan pada 29 Disember.

Macron berkata penghantaran pertama vaksin Covid-19 akan diperolehi seawal hujung tahun ini atau awal Januari depan.

Masalah penyimpanan vaksin juga menyebabkan pemberian vaksin besar-besaran tidak dapat dijalankan serentak, tambahnya.

Kerajaan juga berdepan masalah untuk meyakinkan kumpulan yang menolak vaksin Covid-19.

Tinjauan akhbar Le Journal du Dimanche minggu lalu mendapati hanya 41% penduduk Perancis setuju untuk menerima vaksin.

Sehingga kini, seramai 52,731 orang maut akibat Covid-19 di Perancis. – AFP, 2 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen