KERAJAAN perlu meneruskan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid miskin walaupun sekolah sekarang ditutup kerana pandemik Covid-19, kata badan pendidikan dan persatuan ibu bapa dan guru.
Kerajaan perlu bertindak segera dan bersiap sedia ketika jumlah murid yang memerlukan bantuan makanan dijangka bertambah akibat kesan wabak ke atas ekonomi dan kualiti hidup ibu bapa mereka, kata Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim.
“Dianggarkan seramai sejuta pelajar yang memerlukan bantuan makanan daripada 600,000 sebelum kejadian pandemik ini.
“Diharap kerajaan bertindak segera untuk membantu mereka yang dilanda kemiskinan yang kian meningkat, agar anak-anak ini tidak kebuluran dan berpenyakit kerana kekurangan zat makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Angka sejuta murid layak menerima bantuan di bawah RMT disebut oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, yang juga bekas menteri pendidikan, semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Maszlee berkata jangkaan peningkatan itu berdasarkan situasi golongan kelas menengah M40 yang kini berkurangan pendapatan mereka akibat kesan Covid-19 sehingga jatuh ke dalam kelompok berpendapatan rendah B40.
Menurut Maszlee, sekolah yang ditutup sehingga sesi persekolahan tahun depan bermula menafikan hak anak-anak dari keluarga yang terjejas akibat Covid-19 untuk menikmati bantuan makanan sihat dan seimbang.
Belanjawan 2021 memperuntukkan RM420 juta untuk RMT, peningkatan 42% daripada peruntukan RM295 juta bagi 2020 dan RM289 juta bagi 2019. Peningkatan bagi tahun hadapan termasuk untuk bantuan susu segar kepada murid setiap hari, berbanding dua kali seminggu sebelum ini.
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin pada awal November mengarahkan semua sekolah ditutup dan hanya akan dibuka bagi sesi persekolahan tahun hadapan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penyebaran pandemik Covid-19.
Noor Azimah bagaimanapun berpendapat sekolah sepatutnya masih boleh dibuka agar dapat berfungsi sebagai pusat agihan untuk meneruskan program bantuan makanan kepada murid yang memerlukan.
Beliau juga meminta kerajaan menimbang untuk mengguna khidmat pihak tentera bagi mengedarkan makanan untuk pelajar di kawasan pedalaman yang mungkin sukar ke sekolah untuk mengambil makanan.
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Mohamad Ali Hassan turut senada berkata kerajaan perlu meneruskan pemberian RMT biarpun pelajar meneruskan pembelajaran di rumah.
Kerajaan juga wajar memikirkan kaedah paling sesuai untuk menyalurkan bantuan RMT, mengambil kira keadaan pandemik yang mungkin akan berlarutan dan sekolah akan terus ditutup untuk suatu tempoh yang lebih lama.
Katanya, bantuan tunai boleh jadi satu pilihan ganti.
“Saya rasa pihak kerajaan kena fikirkan secara terbaik untuk salurkan bantuan RMT kepada pelajar semasa sekolah ditutup. Mereka ini masih lagi belajar tapi asasnya tidak ke sekolah.
“Jadi kerajaan kena cari jalan untuk memberi bantuan ini seperti pemberian dalam bentuk tunai. Saya rasa itu cara terbaik.
“Kita juga sudah ada senarai pelajar yang perlukan RMT jadi tak perlu mohon apa-apa. Kerajaan boleh terus salurkan saja kepada pelajar yang berhak dapatkan bantuan RMT dalam waktu pembelajaran di rumah. Harap kerajaan dapat pertimbangkan cadangan ini,” katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang juga berkata kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk meneruskan bantuan RMT walaupun sekolah ditutup.
“Kalau ke arah kebaikan memang kita mengalukan langkah itu, sebab kita tidak tahu keadaan ini akan terus berpanjangan atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun katanya oleh sebab sekolah sekarang ditutup, tanggungjawab itu boleh diambil alih oleh wakil rakyat di kawasan kerana ia di luar bidang kuasa guru dan sekolah.
“Sekarang memang program bantuan susu atau RMT secara automatiknya tidak ada (kerana sekolah tutup)... di luar kawalan guru untuk menjaga aspek pemakanan mereka, di luar bidang kuasa guru atau sekolah.
“Tanggungjawab itu sudah pergi kepada pimpinan masyarakat sebab sekarang bagi pihak kita sekolah, guru tiada terima apa-apa laporan daripada ibu bapa.
“Maksudnya jika masalah bantuan yang dihadapi ketika ini mereka akan pergi kepada wakil rakyat dan bukan sekolah,” katanya. – 2 Disember, 2020.
Komen