2 kluster Covid-19 baharu dikesan


Aminah Farid

Anggota polis memantau sekitar perumahan pekerja di Penampang bagi memastikan tiada pekerja keluar dari kawasan PKPD. Jumlah keseluruhan kluster aktif kini sebanyak 180. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

PIHAK berkuasa kesihatan menemui dua kluster Covid-19 baharu, kedua-duanya di Sabah selepas pengesanan individu yang mengalami gejala.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan bilangan keseluruhan kluster aktif sebanyak 180.

Kluster View Kelombong ditemui di Kota Kinabalu dan Tuaran apabila terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan.

Sebanyak 40 orang disahkan positif daripada kluster ini.

Sementara itu, kluster Talang Talang juga dikesan di Kota Kinabalu selepas saringan dilakukan.

Setakat ini, kluster berkenaan melaporkan 18 kes positif.

Dua kluster baharu menambah jumlah kluster negara kepada 364, sejak bermulanya wabak tersebut.

Tiga kluster lain sudah diisytiharkan tidak aktif - kluster HIghway, Inai dan Jalan Meru.

Daripada 180 kluster aktif, 33 kluster melaporkan peningkatan kes.

Kluster Teratai melaporkan yang tertinggi dengan 778 kes, diikuti kluster Hentian dengan 118 kes dan Batu Tujuh dengan 37 kes. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen