1,472 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini


Aminah Farid

MALAYSIA mencatat lebih banyak pemulihan Covid-19 berbanding kes baharu untuk hari ketiga berturut-turut, dengan 1,522 orang dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 1,472 kes baharu dengan lima daripadanya melibatkan kes import.

Jumlah pemulihan dari coronavirus kini berjumlah 56,311 sementara jumlah keseluruhan kes adalah 67,169.

Kes aktif berjumlah 10,495.

Selangor mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 819, diikuti oleh Sabah (267) dan Negeri Sembilan (146).

Kluster Teratai di Selangor menyumbang 52.9% daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, dan 87.3% bagi kes negeri ini.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata sejak seminggu yang lalu, kebanyakan negeri telah stabil dalam jumlah kes harian yang dilaporkan.

“Kes yang dilaporkan baru-baru ini berpunca dari tapak pembinaan dan kilang. Oleh itu, jumlah kes harian yang tinggi disebabkan peningkatan pengesanan kontak,” katanya.

Negara juga mencatatkan tiga kematian, yang menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 363 orang.

Dua yang meninggal dunia melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun dan seorang warga emas wanita berusia 64 tahun dengan sejarah diabetes.

Sementara itu, mangsa ketiga adalah seorang lelaki berusia 24 tahun yang tidak mempunyai sejarah perubatan.

Ketiga-tiga kematian dilaporkan di Sabah

Sehingga hari ini, terdapat 120 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 44 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen