Polis berjaya tahan suspek utama kes rompak-bunuh di Bangsar


Alfian Z.M. Tahir

Ketua JSJ Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata ketiga-tiga suspek ditangkap di tiga lokasi antara jam 3.30 pagi hingga 5 pagi hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

TIGA suspek yang merompak dan membunuh seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) di rumahnya di Bangsar pada Ahad, ditahan pada awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata ketiga-tiga lelaki itu ditangkap di tiga lokasi antara jam 3.30 pagi hingga 5 pagi hari ini.

Huzir juga berkata seorang daripada lelaki yang ditahan adalah suspek utama.

“Lelaki pertama yang kami tangkap berada di Jalan Genting Klang kira-kira jam 3.30 pagi, dan selepas itu kami menahan seorang lagi lelaki di Air Panas, Setapak, sekitar jam 4.30 pagi.

“Kemudian, kami berjaya mengesan suspek utama di Jalan Rinching, Semenyih. Lelaki itu berusia 23 tahun, dengan rekod dua jenayah.

“Ketiga-tiga suspek mengaku mereka terlibat dalam rompakan dan pembunuhan bekas penyelidik Mardi itu,” kata Huzir.

Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi lelaki daripada kumpulan yang menyembunyikan diri.

“Kami mencari Sugu Tanggaraju. Beliau juga merupakan sebahagian daripada kumpulan itu. Kami percaya kes hampir selesai dengan penangkapan ketiga-tiga mereka dan kami akan segera menangkap suspek keempat,” tambahnya.

Pada pagi Ahad, dua perompak memecah masuk rumah Wan Hassan Wan Embong yang berusia 73 tahun di Bangsar.

Pergelutan berlaku selepas beliau cuba menghalang perompak itu dan menyebabkannya cedera parah.

Perompak kemudian melakukan rompakan kedua di Titiwangsa pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dalam sidang media semalam berkata polis menahan 10 lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun.

“Perompak dalam kedua-dua kes itu didapati melibatkan dua suspek yang sama. Selebihnya didapati berkaitan dengan kes tersebut,” katanya, sambil menambah seorang suspek juga mengaku melakukan jenayah tersebut.

Polis berjaya mengaitkan kedua-dua kes tersebut selepas seorang daripada suspek secara tidak sengaja tercicir dompet milik mangsa rompakan pertama yang maut.

“Rompakan kedua tidak menyebabkan kecederaan dan keluarga diikat oleh perompak semasa kejadian pada jam 5.15 pagi.

“Oleh kerana suspek tidak bertopeng, lakaran foto suspek dibuat oleh keluarga berkenaan,” kata Saiful Azly.

Katanya, isteri bekas penyelidik Mardi itu juga berjaya mengenal pasti suspek apabila mereka ditangkap. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen